Lebih 600 mahasiswa sertai Himpunan Selamatkan Syariah

Ribuan peserta membanjiri pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya dengan mengenakan pakaian serba putih dalam Himpunan Selamatkan Mahkamah Syariah pada Isnin.
Ribuan peserta membanjiri pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya dengan mengenakan pakaian serba putih dalam Himpunan Selamatkan Mahkamah Syariah pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 600 mahasiswa terdiri daripada 28 persatuan institut pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia menyertai Himpunan Selamatkan Syariah yang diadakan di pekarangan Istana Kehakiman di sini pada Isnin.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz berkata, mahasiswa daripada pelbagai universiti itu dikumpulkan sebagai tanda sokongan anak muda untuk mempertahankan kedaulatan Mahkamah Syariah.

"Sebagai mahasiswa yang akan menjadi pemimpin pada masa depan, saya harap keputusan mahkamah memihak kepada umat Islam yang tak henti-henti perjuangkan sejak dulu lagi.

Wan Muhammad Arif (tengah) mewakili mahasiswa di Himpunan Selamatkan Syariah yang diadakan di pekarangan Istana Kehakiman pada Isnin.
Wan Muhammad Arif (tengah) mewakili mahasiswa di Himpunan Selamatkan Syariah yang diadakan di pekarangan Istana Kehakiman pada Isnin.

"Dari dulu lagi dah buat macam ni (cabar undang-undang) tapi kebanyakannya kalah.

Sekarang satu demi satu kemenangan jadi milik mereka dan yang terakhir ialah kes Iki Putra. Kita tak boleh biarkan saja.

"Kami akan teruskan lagi himpunan macam ini sehingga perkara ini diusulkan di Dewan Rakyat dan dapat meminda perlembagaan supaya undang-undang syariah tak dapat dicabar lagi pada masa depan," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Sebelum ini, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mengemukakan cabaran Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) yang mendakwa enakmen tersebut adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua individu berkenaan menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan tersebut batal dan tidak sah.