PM setuju tangguh mansuh elaun kritikal, kata Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada penjawat awam.

Perkara itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui Twitter rasminya hari ini.

Menurutnya, perbincangan telah dibuat dan Dr Mahathir bersetuju dengan perkara tersebut.

"Saya baru berbincang dengan Dr Mahathir dalam isu elaun kritikal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Alhamdulillah, beliau telah bersetuju menangguhkan pekeliling JPA yang baru, berkenaan elaun kritikal.

"Kabinet akan bersama membincangkan isu ini pada mesyuarat Kabinet pertama pada Januari akan datang," katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau akan terus memastikan suara anak muda didengar dan diberi perhatian.

"Suara anak muda adalah suara keramat. Mereka merupakan pewaris negara bangsa kita bersama. Saya akan pastikan suara doktor, jururawat muda dalam sektor kerajaan tidak akan diabaikan dan tidak akan dianaktirikan. Insya-ALLAH, kita akan usahakan yang terbaik," katanya.

Syed Saddiq sebelum ini menjadi antara terawal memberi reaksi balas membantah perlaksanaan pemansuhan BIPK dan sanggup memulangkan elaun percutian serta memotong 10 peratus gaji yang diterima sebagai menteri.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menegaskan, kerajaan sepatutnya membuat pemotongan elaun menteri bukannya penjawat awam.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Baik turunkan gaji menteri daripada mansuh elaun BIPK'

Pemansuhan BIPK akan melibatkan pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020.

Sebanyak lapan jenis elaun penjawat awam akan dihapuskan antaranya ialah Bayaran Insentif Menaip Jawi, Elaun Khas Penolong Pemungut Hasil Tanah, Insentif Profisiensi Bahasa Inggeris, Bayaran Insentif Angkat Najis, Elaun Kritikal Doktor dan lain-lain.

Penamatan elaun itu dirujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 yang dikeluarkan 20 Disember 2019.

Isu tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi yang mahu kerajaan mengkaji semula keputusan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Elaun kritikal mansuh hanya untuk lantikan 1 Januari 2020: JPA