Northport terima anugerah tertinggi APBSP

Azman Shah (dua dari kiri) menerima Anugerah Perdana Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) 2023 daripada Menteri Dalam Negeri (dua dari kanan) di Kuala Lumpur pada 16 November lalu.
Azman Shah (dua dari kiri) menerima Anugerah Perdana Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) 2023 daripada Menteri Dalam Negeri (dua dari kanan) di Kuala Lumpur pada 16 November lalu.
A
A
A

AHLI kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC), Northport (Malaysia) Bhd (Northport) diumum sebagai penerima Anugerah Perdana Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) 2023 dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anugerah yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu di bawah kategori Sasaran Penting Keutamaan ll.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, kemenangan tersebut mencerminkan dedikasi syarikatnya untuk mencapai kecemerlangan dalam prestasi pengurusan keselamatan serta memupuk budaya sekuriti dalam kalangan seluruh kakitangan.

"Dalam beberapa tahun ini, kami telah membuat penambahbaikan berterusan melalui inisiatif ‘Reinventing Northport’ untuk menjadi pelabuhan yang Lebih Selamat, Lebih Hijau, Lebih Pintar dan Lebih Baik.

"Melalui inisiatif ini, kami telah mengukuhkan prosedur dan memperkasakan komitmen kami untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif.

"Matlamat kami adalah untuk memupuk budaya pengurusan keselamatan dan sekuriti yang mampan demi kesejahteraan seluruh warga kerja dan pengguna pelabuhan kami," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, anugerah perdana yang diterima itu juga menjadi bukti tadbir urus, komitmen dan akauntabiliti Northport yang berkesan.

Anugerah APBSP diwujudkan bagi menilai dan mengiktiraf sistem tadbir urus keselamatan perlindungan yang wajar dicontohi oleh infrastruktur penting utama negara.

Artikel Berkaitan:

Northport telah diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan dan Tempat Larangan yang tertakluk di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) oleh Kerajaan Malaysia.

Pada April lalu, pasukan Naziran Sasaran Penting yang dianggotai Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah menjalankan penilaian ke atas Northport.

Berikutan penilaian itu, Northport mendapat markah tertinggi keseluruhan dan seterusnya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Sasaran Penting Keutamaan ll tahun ini.