PUO terima anugerah platinum APACC

PUO menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik bersama 18 agensi dan pihak industri di negeri ini bagi perkongsian dua hala dalam aspek kepakaran dan penyediaan latihan.
PUO menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik bersama 18 agensi dan pihak industri di negeri ini bagi perkongsian dua hala dalam aspek kepakaran dan penyediaan latihan.
A
A
A

IPOH - Politeknik Ungku Omar (PUO) menerima Anugerah Platinum daripada Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC) bagi audit kualiti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), tahun ini.

Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata, pencapaian itu merupakan satu pengiktirafan tertinggi di peringkat serantau berdasarkan kualiti pengurusan serta penyampaian pengajaran dan pembelajaran.

"Terdapat tujuh kriteria pemarkahan yang dinilai dan daripada jumlah itu, empat daripadanya kita perolehi 100 peratus iaitu tadbir urus dan pengurusan, pengajaran dan pembelajaran, imej dan kelestarian serta khidmat sokongan pelajar.

"Dengan pengesahan kualiti ini menampakkan sistem pengajian di PUO adalah mencapai piawaian TVET antarabangsa dan berstandard dunia," katanya kepada pemberita.

Shamsuri
Shamsuri

Beliau berkata demikian sempena Majlis Apresiasi Media, Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri dan Menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik di Dewan Jubli PUO dekat sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Trans Resources Corporation Sdn Bhd yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Industri, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Tan Sri Sufri Mohd Zin.

Shamsuri berkata, sebelum ini PUO terpilih menerima akreditasi emas daripada APACC yang dijadikan sebagai penanda aras terhadap kecemerlangan institusi aliran TVET.

Katanya, cabaran dihadapi politeknik itu kini untuk mengekalkan pengiktirafan diterima antaranya dengan memperluaskan penawaran program sarjana muda, menambah baik kemudahan fasiliti dan meningkatkan kemahiran pensyarah menerusi latihan semula dalam bidang TVET aras tinggi.

"Buat masa ini, PUO menawarkan dua program sarjana muda berasaskan 'work based learning' iaitu teknologi kejuruteraan pembuatan dan teknologi kejuruteraan awam.

"Kita sedang berusaha menambah empat lagi tambahan iaitu dalam bidang seni bina, kejuruteraan perkapalan, elektrik elektronik dan perakaunan," katanya.

APACC adalah sebuah badan akreditasi pensijilan antarabangsa di bawah Colombo Plan Staff College For Technician Education berpusat di Manila, Filipina dan dianggotai 17 negara di rantau Asia Pasifik.

Tujuh kriteria yang dinilai bagi pengiktirafan APACC adalah tadbir urus dan pengurusan; pengajaran dan pembelajaran; sumber manusia; penyelidikan dan pembangunan; imej dan kelestarian; sumber lain dan khidmat sokongan pelajar.

Sementara itu, beliau berkata, buat julung kalinya, PUO menerima 94 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program Asasi TVET mulai Julai lalu.

Menurutnya, program itu menyediakan laluan untuk pelajar mengikuti program ijazah dalam bidang telnologi kejuteraan di empat buah universiti dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

"Di bawah program ini, pelajar akan mengikuti pengajian selama dua semester di PUO sebelum melanjutkan pengajian ke universiti MTUN," katanya.

PUO yang telah berusia 54 tahun kini mempunyai 467 pensyarah dan 142 kakitangan dengan jumlah pelajar semasa berada di kampur 4,402 orang manakala 1,214 pelajar lagi menjalani latihan industri.