Yobe sasar 32 cawangan menjelang Julai 2027

Leon Tang (tiga dari kiri) bersama Jenny (dua dari kanan) dan Ketua Pajakan Pusat Beli-belah 1 Utama, Anna Wong (dua dari kiri), ketika melancarkan Yobe Swirl Box sempena pelancaran rasmi Yobe Crafted di platform foodpanda Malaysia.
Leon Tang (tiga dari kiri) bersama Jenny (dua dari kanan) dan Ketua Pajakan Pusat Beli-belah 1 Utama, Anna Wong (dua dari kiri), ketika melancarkan Yobe Swirl Box sempena pelancaran rasmi Yobe Crafted di platform foodpanda Malaysia.
A
A
A

JENAMA Greek frozen yogurt tempatan, Yobe Crafted menyasarkan pembukaan sehingga 32 cawangan milik korporat menjelang Julai 2027 menerusi strategi peluasan rangkaian perniagaan bagi memperkukuh kedudukan dalam pasaran makanan dan minuman (F&B).

Ketua Pegawai Eksekutif Yobe Malaysia, Leon Tang berkata, sasaran tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk memperluas capaian jenama berkenaan sekali gus menjadikan Greek frozen yogurt lebih dikenali dan mudah dinikmati pengguna di seluruh negara.

Menurutnya, Yobe menyasarkan 14 cawangan menjelang akhir tahun ini sebelum menambah kira-kira 18 lagi cawangan pada tahun hadapan bagi mencapai sasaran keseluruhan.

"Perkara utama yang kita mahu capai sekarang adalah menguasai pasaran. Tujuan utama kita adalah untuk menjadikan Greek frozen yogurt lebih dikenali, menyediakan rangkaian pengedaran dan memastikan cawangan baharu dapat dibuka kira-kira satu atau dua cawangan setiap bulan.

"Dengan cara itu, barulah kita boleh mula mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya ditemui pemberita ketika pelancaran rasmi Yobe di platform foodpanda, serentak dengan pembukaan besar-besaran cawangan ketujuh Yobe Crafted di 1 Utama Shopping Centre di sini pada Jumaat.

Bermula minggu pertama Disember 2026, Yobe Malaysia secara rasmi ditawarkan menerusi platform foodpanda, sekali gus membawa pengalaman menikmati yogurt sejuk beku Greek istimewanya ke luar premis perniagaan dan terus ke pintu rumah pelanggan.

Menerusi kerjasama berkenaan, pelanggan boleh membuat pesanan daripada menu penghantaran yang dipilih khas, sekali gus memberikan lebih kemudahan serta nilai berbaloi kepada pengguna.

Yobe Malaysia secara rasmi ditawarkan menerusi platform foodpanda, sekali gus membawa pengalaman menikmati yogurt sejuk beku Greek istimewanya ke luar premis perniagaan dan terus ke pintu rumah pelanggan.
Yobe Malaysia secara rasmi ditawarkan menerusi platform foodpanda, sekali gus membawa pengalaman menikmati yogurt sejuk beku Greek istimewanya ke luar premis perniagaan dan terus ke pintu rumah pelanggan.

Tang berkata, pihaknya percaya yogurt sejuk beku Greek premium seharusnya menjadi hidangan istimewa harian yang boleh dinikmati lebih ramai rakyat Malaysia.

“Sama ada pelanggan berkunjung ke premis kami atau membuat pesanan menerusi foodpanda, kami mahu menawarkan jaminan kualiti, kemudahan dan nilai berbaloi yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Tang berkata, pengembangan jenama berkenaan bukan sekadar tertumpu kepada pertambahan cawangan, sebaliknya turut memberi penekanan kepada usaha memperkenalkan kategori Greek frozen yogurt kepada lebih ramai pengguna.

Katanya, peluang dalam segmen berkenaan masih luas memandangkan pasaran tempatan belum mempunyai banyak jenama Greek frozen yogurt yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia.

“Jika kita melihat kepada industri kopi, Malaysia mempunyai jenama tempatan yang boleh dibanggakan. Begitu juga dengan kategori lain, tetapi bagaimana pula dengan Greek frozen yogurt?

“Setakat ini, kebanyakan produk dalam kategori tersebut berasal dari luar negara. Jadi, saya melihatnya sebagai peluang untuk rakyat Malaysia membangunkan jenama sendiri dalam kategori ini," katanya.

Yobe Malaysia mengendalikan dua konsep perniagaan iaitu Yobe Crafted yang menawarkan Greek frozen yogurt menggunakan Farmers’ Union dan Yobe Mini yang menyediakan yogurt biasa.
Yobe Malaysia mengendalikan dua konsep perniagaan iaitu Yobe Crafted yang menawarkan Greek frozen yogurt menggunakan Farmers’ Union dan Yobe Mini yang menyediakan yogurt biasa.

Selain itu, syarikat turut merancang meneruskan penggunaan aplikasi Yobe bagi memudahkan urusan pembelian pelanggan.

Menerusi aplikasi berkenaan, pelanggan boleh membuat pesanan terlebih dahulu sebelum hadir ke cawangan untuk mengimbas kod dan mendapatkan pesanan yang disediakan.

Pada masa sama, Yobe Malaysia turut mengendalikan dua konsep perniagaan iaitu Yobe Crafted yang menawarkan Greek frozen yogurt menggunakan Farmers’ Union dan Yobe Mini yang menyediakan yogurt biasa.

Tang berkata, syarikat kini memberi tumpuan kepada usaha memperluas kehadiran jenama berkenaan ke lokasi di luar Lembah Klang supaya lebih ramai pengguna mempunyai akses kepada produk tersebut.

Sementara itu, Pengarah Komersial Foodpanda Malaysia, Jenny Tay berkata, kerjasama dengan Yobe Malaysia bukan sekadar membantu sebuah jenama tempatan yang unik dan menarik untuk berkembang, malah membolehkannya menjangkau pelanggan di luar premis fizikal dan terus ke pintu rumah lebih ramai rakyat Malaysia.

“Kami percaya hidangan istimewa yang berkualiti seharusnya mampu dinikmati semua orang dan kami teruja untuk merealisasikan hubungan itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!