Usahawan bateri dinobat 'The Most Promising Company' di Anugerah Usahawan Mara 2026

Azarol Faizi (empat dari kanan) bergambar bersama anugerah yang diterima sempena AURA 2026.
Azarol Faizi (empat dari kanan) bergambar bersama anugerah yang diterima sempena AURA 2026.
A
A
A

SYARIKAT pengeluar bateri, Bateriku (M) Sdn Bhd dinobatkan sebagai penerima anugerah 'The Most Promising Company' di Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2026.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap transformasi syarikat tersebut selama 19 tahun daripada penyedia perkhidmatan bateri dan bantuan tepi jalan kepada penyedia ekosistem automotif digital berskala nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam pelaburan teknologi dan inovasi bagi mengubah cara perkhidmatan automotif diakses, disampaikan dan diuruskan dalam ekosistemnya.

"Bateriku sentiasa memberi tumpuan kepada usaha memudahkan pengalaman pemilikan kenderaan.

"Pendigitalan membolehkan kami menghubungkan pelanggan, juruteknik dan usahawan melalui satu ekosistem bersepadu, di samping mewujudkan peluang baharu untuk lebih ramai menyertai industri perkhidmatan automotif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Timbalan Presiden Kanan Malaysia Industry Government Group of High Technology (MIGHT), Mohd Zakwan Mohd Zabidi.

Azarol berkata, pada masa ini, pemilik kenderaan boleh mendapatkan perkhidmatan penukaran bateri dan bantuan tepi jalan melalui laman web Bateriku serta aplikasi Android dan Sistem Operasi Peranti Mudah Alih (iOS).

"Daripada membuat pesanan sehingga pembayaran, keseluruhan perjalanan perkhidmatan boleh dilakukan secara digital, sekali gus membantu mengurangkan masa dan ketidakpastian ketika mendapatkan bantuan, khususnya dalam situasi kecemasan di jalan raya.

"Ekosistem digital ini turut menyokong program BHero Bateriku dengan menghubungkan juruteknik bergerak kepada permintaan pelanggan serta mewujudkan peluang menjana pendapatan dalam ekonomi gig," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!