Tebus kegagalan hingga terima Anugerah Pelajaran Diraja

Muhammad Azri (kanan) dan Kaavilash menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen UUM kali ke-36 di Dewan Muadzam Shah, Sintok pada Ahad.
Muhammad Azri (kanan) dan Kaavilash menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen UUM kali ke-36 di Dewan Muadzam Shah, Sintok pada Ahad.
A
A
A

SINTOK - Gagal mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menghalang Muhammad Azri Mizra untuk bangkit dan menebusnya di peringkat pengajian tinggi.

Graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) Universiti Utara Malaysia (UUM) ini menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) kali ke-36 di Dewan Muadzam Shah di sini pada Ahad.

Pelajar berusia 25 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur ini juga mengakui pernah memohon memasuki universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU), namun ditolak sebanyak dua kali sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran di Kolej Profesional Mara.

"Selepas gagal beberapa subjek dalam SPM dan permohonan UPU ditolak dua kali, saya berusaha dan fokus dalam pelajaran di Kolej Profesional Mara di Johor.

"Alhamdulillah, kemudian saya diterima sambung belajar di UUM di peringkat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan)," katanya semasa ditemui di pekarangan dewan berkenaan.

Dari kiri; Muhammad Azri, Nurfarazida dan Kaavilash selepas menerima anugerah masing-masing pada Konvokesyen UUM kali ke-36 di Dewan Muadzam Shah, Sintok pada Ahad.
Dari kiri; Muhammad Azri, Nurfarazida dan Kaavilash selepas menerima anugerah masing-masing pada Konvokesyen UUM kali ke-36 di Dewan Muadzam Shah, Sintok pada Ahad.

Muhammad Azri kini bekerja sebagai pegawai perolehan di sebuah syarikat swasta berkata, antara motivasinya semasa belajar di UUM adalah mahu membalas jasa ibunya yang merupakan ibu tunggal dan membesarkan mereka adik-beradik dengan berniaga secara kecil-kecilan

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, J Kaavilash Nair, 24, dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia juga memperoleh keputusan kurang cemerlang dalam SPM.

Artikel Berkaitan:

Menurut graduan Sarjana Muda Komunikasi, kejayaan yang diperoleh itu didedikasikan kepada kedua ibu bapanya yang tidak putus memberikan sokongan kepadanya.

"Saya juga tidak cemerlang dalam keputusan SPM dan sedih kerana mengecewakan ibu bapa ketika itu.

"Saya kembali bangkit dan membuktikan kali ini," katanya yang kini bekerja dengan Petronas dan bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana.

Bagi penerima Pingat Emas Canselor UUM, Nurfarazida Salleh, 23, graduan Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam pula, kejayaan yang diperoleh adalah hasil dorongan kedua ibu bapanya yang mencari rezeki sebagai petani.

"Saya juga hampir setiap hari akan solat hajat dan baca al-Quran. Saya perlu rajin berusaha untuk ubah nasib keluarga.

"Pada masa depan, saya mahu mempunyai rumah sendiri kerana sekarang ayah saya masih menyewa, dia besarkan kami adik-beradik dengan menjual sayur-sayuran dan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan," katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Anugerah disampaikan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Tuanku Canselor UUM.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja menerima tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima tunai RM4,000 berserta sijil.