Hubungan Agong, PM perlu erat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Hubungan antara Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri perlu sentiasa dalam keadaan baik bagi melicinkan sistem pentadbiran negara.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, urusan pentadbiran akan menjadi sukar sekiranya hubungan kedua-duanya renggang.

“Walaupun Yang di-Pertuan Agong tiada peranan eksekutif, lebih pada ‘ceremonial’ tetapi baginda masih ada fungsinya. Bukan Yang di-Pertuan Agong saja, sultan pun sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, sedari dulu hubungan antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong sangat baik namun tidak menafikan terdapat juga beberapa isu berbangkit sebelum ini.

“Saya rasa dari dulu ada hubungan baik, yang ada isu pun ada juga. Kalau tengok dulu masa Tun Dr Mahathir jadi perdana menteri, ada isu juga tapi itu bukan isu melibatkan Yang di-Pertuan Agong sangat.

“Kali ini, saya nampak tiada krisis besar sangat tapi nampak seolah-olah ada kerenggangan tapi saya nampak isu itu boleh diselesaikan.

“Perihal Yang di-Pertuan Agong letak jawatan, saya tak nampak isu politik jadi sebab utama tapi lebih kepada isu peribadi melibatkan baginda,” ujarnya.

Pendapat sama turut dikongsi penganalisis sosiopolitik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi yang menegaskan krisis antara istana dan kerajaan perlu dielakkan bagi memastikan pembangunan negara tidak terkesan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong perlu mempunyai hubungan baik, saling menghormati bidang kuasa dan tiada campur tangan politik atau istana demi kesejahteraan negara.

“Fokus negara kini adalah membina negara dan bukannya asyik bertelagah atau berkrisis politik dan sebagainya.

“Sama ada Yang di-Pertuan Agong letak jawatan atau sebaliknya, politik negara pasti berubah kerana terdapat dinamika politik sejak era reformasi pada tahun 1998,” katanya.

Berhubung peletakan jawatan Sultan Muhammad V, Awang Azman menasihatkan rakyat bersabar kerana Majlis Raja-raja pasti akan memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat.

“Rakyat perlu bersabar, tenang dan terus menunggu isu ini untuk mendapatkan pencerahan secara rasmi daripada Majlis Raja-raja.

“Kita faham keinginan rakyat dan itu menunjukkan keprihatinan rakyat kepada institusi raja,” ujarnya.

Ahad lepad, Sultan Muhammad melalui satu kenyataan media Istana Negara mengumumkan meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 6 Januari 2019.

Berita itu menggemparkan rakyat Malaysia yang sehingga kini masih tertanya-tanya punca baginda mengambil keputusan sedemikian.