'Kembar masih bersedih, rindu nak bermain bersama' - Bapa

Mohd Khairi sedang melayani mesej daripada rakan-rakan serta ahli keluarga yang bertanyakan tentang keadaan anaknya.
Mohd Khairi sedang melayani mesej daripada rakan-rakan serta ahli keluarga yang bertanyakan tentang keadaan anaknya.
A
A
A

GEORGE TOWN - Abang kembar kepada mangsa terkena renjatan elektrik pada Khamis lalu, Mohd Danish Zarif masih bersedih dan kurang berbual selepas kejadian tersebut.

Bapa mereka, Mohd Khairi Abdul Ghani, 38, berkata, Mohd Danish tidak makan sejak kejadian itu namun sudah menjamah char kuetiau pada malam Jumaat.

Mohd Khairi berkata, Mohd Danish dan Mohd Dawisy amat rapat dan sentiasa bersama dalam menjalani kehidupan seharian termasuk bermain bola pada waktu petang.

"Mereka tidak pernah berpisah sejak kecil, jadi apa yang berlaku dekat adik dia, memang dia terasa sangat. Dia menangis selepas mengetahui insiden yang menimpa adiknya.

"Sejak kejadian itu, dia tak mahu makan langsung, saya tanya nak makan apa, dia geleng. Baru semalam dia beritahu nak makan char kuetiau. Saya lega dia dah nak makan.

"Cuma dia masih sedih, kadang-kadang nampak dia menangis terutamanya waktu malam," katanya ketika ditemui Sinar Harian di hadapan Wad Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Mohd Danish yang kelihatan sugul berkata, pada hari kejadian, adiknya keluar bermain terlebih dahulu sementara dia tidur di rumah.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairi (tengah, berbaju putih) bersama ahli keluarga yang ditemui di hadapan Wad ICU HPP pada Sabtu.
Mohd Khairi (tengah, berbaju putih) bersama ahli keluarga yang ditemui di hadapan Wad ICU HPP pada Sabtu.

"Saya selalu bermain bersama tetapi masa kejadian, adik keluar dulu. Saya tidur di rumah, tetapi memang saya nak keluar bermain pun, cuma adik keluar lebih awal.

"Saya harap adik cepat sembuh, rindu nak main, belajar bersama-sama," katanya pilu.

Sementara itu, mengulas mengenai keadaan terkini Mohd Dawisy, Mohd Khairi berkata, keadaan anak bongsunya itu semakin baik berbanding pada Jumaat.

"Alhamdulillah keadaan dia stabil, banyak perubahan yang baik daripada semalam. Muka dia dah tidak bengkak. Bagaimanapun, dia masih ditidurkan dan doktor tidak beritahu sampai bila.

"Syukur dengan perubahan yang ditunjukkan, saya berdoa agar anak saya cepat sembuh dan kuat melawan kesakitan yang ditanggungnya.

"Memang luluh hati melihat keadaannya sekarang, doa saya dan ahli keluarga tidak putus-putus untuk Mohd Dawisy," katanya.

Petang 16 November lalu, seorang kanak-kanak lelaki melecur seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik dari bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Sri Bayu, Bayan Lepas di sini.

Dalam kejadian jam 4.55 petang itu, kanak-kanak berusia 12 tahun itu dikatakan masuk ke bilik jana kuasa itu untuk mengambil bola yang terjatuh ke dalam kawasan berkenaan sebelum terkena renjatan elektrik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, mangsa yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2 mengalami kecederaan itu selepas tersentuh dengan perkakasan elektrik di dalam bilik jana kuasa elektrik TNB.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!