NRECC 'buru' dalang tumpahan minyak di Bukit Kapar

Tumpahan sisa minyak oleh pihak tidak bertanggungjawab di tanah lapang kawasan perindustrian Bukit Kapar pada Khamis.
Tumpahan sisa minyak oleh pihak tidak bertanggungjawab di tanah lapang kawasan perindustrian Bukit Kapar pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) masih mengesan pihak tidak bertanggungjawab dalam insiden pencemaran tumpahan minyak di tanah lapang kawasan perindustrian Bukit Kapar di sini sejak 1 November lalu.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan pihak disyaki menjadi dalang pembuangan minyak enjin kenderaan di tapak berkenaan.

Menurut beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan bekerjasama dengan polis, Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi mengambil tindakan terhadap pelaku kes terbabit.

"Kita berharap penduduk yang ada maklumat boleh menyalurkan aduan kepada JAS untuk kita ambil tindakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau tanah lapang kawasan perindustrian Bukit Kapar di sini pada Khamis.

Nik Nazmi (dua kiri) diberi taklimat dan penerangan daripada pihak berwajib berhubung isu pembuangan minyak di tanah lapang kawasan perindustrian Bukit Kapar pada Khamis.
Nik Nazmi (dua kiri) diberi taklimat dan penerangan daripada pihak berwajib berhubung isu pembuangan minyak di tanah lapang kawasan perindustrian Bukit Kapar pada Khamis.

Nik Nazmi berkata, kejadian itu dipercayai didalangi sindiket tertentu dan ia memerlukan operasi secara bersepadu bagi mengesan pihak terbabit.

"Kita difahamkan insiden sama berlaku di kawasan Kapar, tetapi tak pasti adakah pelaku sama atau pun tidak, namun kami tidak akan duduk diam sehingga dapat kenal pasti pelaku kejadian ini," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nik Nazmi, perkara itu juga dibangkitkan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali pada persidangan Dewan Rakyat pada 1 November lalu.

Katanya, sebanyak 178 aduan berkaitan pencemaran alam sekitar di bawah Parlimen Kapar telah dilaporkan sejak 1 Januari lalu.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 136 aduan telah dilaporkan berkaitan pencemaran udara, 12 buangan terjadual, air (lapan), bunyi (tujuh) dan kacau ganggu serta sampah sarap (15).

Nik Nazmi memberitahu, setakat ini, pihaknya sudah mengenal pasti pemilik tanah dan mereka juga telah diarahkan untuk membuat kerja-kerja pembersihan dengan segera.

Beliau memberitahu, kerja-kerja pembersihan tapak yang dikesan mempunyai tompokan minyak itu dijangka selesai selewat-lewatnya pada Jumaat.

"Notis arahan telah dikeluarkan bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang mengarahkan pemilik tanah berkenaan supaya melakukan kerja-kerja pembersihan dan melupuskan buangan ke premis yang dilesenkan oleh JAS.

"Saya dapat bayangkan bau seperti ini tidak baik untuk kesihatan penduduk kerana saya difahamkan terdapat 6,000 penduduk di lima taman menetap di kawasan sekitar tapak tersebut," jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, tiada laporan penduduk mengalami gangguan kesihatan, melainkan terdapat aduan secara lisan mendakwa terdapat haiwan peliharaan seperti anjing dan lembu ditemui mati.

Beliau memberitahu, pesalah yang melakukan perbuatan itu boleh didakwa bawah Seksyen 31 iaitu didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sekiranya kesalahan diteruskan, denda tambahan tidak melebihi RM1,000 akan dikenakan setiap hari dari tarikh notis dikeluarkan dan bawah Seksyen 37 pula, denda tidak melebihi daripada RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan," tegas beliau.