Kain rentang gambar PM dipotong pihak tidak bertanggungjawab

Kain rentang dipotong dan dilubangkan memaparkan gambar Perdana Menteri di Jalan Raja Musa pada Ahad.
Kain rentang dipotong dan dilubangkan memaparkan gambar Perdana Menteri di Jalan Raja Musa pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri mendakwa terdapat sekurang-kurangnya empat kain rentang digantung memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipotong dan dilubangkan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, perbuatan berbentuk khianat dan provokasi itu dilakukan pihak tertentu yang sengaja menimbulkan kemarahan rakyat.

Menurut calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, gambar Perdana Menteri seharusnya dihormati kerana beliau adalah pemimpin negara yang telah dipilih menerajui negara oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut proses demokrasi di negara ini.

"Kalau kita hina Perdana Menteri seolah-olah kita menghina Agong, maknanya tidak mengikut perlembagaan negara iaitu prinsip Rukun Negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

"Jika kita tidak patuh kepada Rukun Negara, bermakna individu terlibat mengingkari undang-undang," katanya ketika ditemui di Kampung Ujong Permatang di sini pada Ahad.

Jelas beliau, tiga tempat dikesan berlaku provokasi membabitkan kain rentang itu ialah di Jalan Raja Musa, Kampung Sungai Gulang-Gulang dan Parit Serong.

Sehubungan itu, tegas beliau, perbuatan itu seharusnya dihentikan serta-merta sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Mohd Yahya menunjukkan kain rentang digantung memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipotong dan dilubangkan pihak tidak bertanggungjawab menerusi telefon bimbitnya.
Mohd Yahya menunjukkan kain rentang digantung memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipotong dan dilubangkan pihak tidak bertanggungjawab menerusi telefon bimbitnya.

Mohd Yahya memberitahu, isu provokasi seperti itu tidak boleh dijadikan sebagai modal kempen politik meskipun berbeza fahaman dan sokongan.

"(Kain rentang) ini bukan gambar penyanyi rock, sebaliknya gambar (pemimpin) yang perlu kita hormati," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya bersedia berbincang dengan polis mengenai tindakan tersebut.

"Setakat ini kita tidak membuat laporan polis dan dimaklumkan pihak berkuasa sedang memantau perkara itu untuk tindakan lanjut.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!