Guna tayar botak bawa barangan lebih muatan

Penggunaan tayar botak antara kesalahan dikesan menerusi Operasi Patuh Bersepadu di empat lokasi utama sekitar negeri ini pada Ahad.
Penggunaan tayar botak antara kesalahan dikesan menerusi Operasi Patuh Bersepadu di empat lokasi utama sekitar negeri ini pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Guna tayar botak selain membawa barangan lebih muatan antara kesalahan dikesan dilakukan pemandu lori yang ditahan menerusi Ops Patuh Bersepadu di empat lokasi utama sekitar negeri ini pada Ahad.

Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat segelintir pemandu lori terbabit pernah dikenakan saman atas kesalahan sama sebelum ini.

Antara lokasi operasi dijalankan melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Plaza Tol Kemuning dan Plaza Tol Bukit Raja.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 957 kenderaan berat diperiksa di lokasi operasi terlibat.

"Sebanyak 67 kenderaan berat termasuk lorididapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya berkaitan kesalahan teknikal seperti penggunaan tayar botak, tiada 'muflat' serta cermin gelap.

"Kesemua kesalahan yang dikesan ini jelas sekali menimbulkan kebimbangan kerana ia bukan sahaja memberi risiko kepada pemandu itu sendiri malah pengguna jalan raya lain," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, pelbagai alasan diberikan pemandu yang ditahan untuk mengelakkan daripada diambil tindakan oleh pihak JPJ.

Artikel Berkaitan:

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan sebuah lori yang ditahan menerusi Operasi Patuh Bersepadu di empat lokasi utama sekitar negeri ini pada Ahad.
Anggota JPJ melakukan pemeriksaan sebuah lori yang ditahan menerusi Operasi Patuh Bersepadu di empat lokasi utama sekitar negeri ini pada Ahad.

"Ada pemandu dakwa tidak tahu berkaitan kesalahan cermin gelap selain dalam perjalanan untuk menukar tayar botak.

"Alasan sebegini sememangnya tidak dapat diterima kerana ia melibatkan soal keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Kata beliau, JPJ sama sekali tidak berkompromi berkaitan kesalahan yang dikesan semasa operasi dijalankan.

"Pemandu diingatkan supaya memastikan keadaan kenderaan berat dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

"JPJ tidak teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap sebarang ketidakpatuhan peraturan dan undang-undang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, operasi oleh JPJ Selangor bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor itu dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Jelas beliau, selain kenderaan berat, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap semua jenis kenderaan ketika operasi dijalankan.

"Selain kenderaan berat, sebanyak 215 kenderaan lain diambil tindakan dan 694 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan yang dikesan melibatkan tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh dan pelbagai kesalahan lain," katanya.

Tambah beliau, tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Pemantauan secara berterusan akan sentiasa dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan.

"Kerjasama sentiasa dijalin bersama JSPT IPK Selangor bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.