DUN Selangor: Gubal undang-undang, 57 tapak sampah haram dikesan di Selangor

Suee Lim menjawab soalan berkaitan tapak pembuangan sampah haram di Negeri Selangor pada Mesyuarat Kedua (Bajet) Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
Suee Lim menjawab soalan berkaitan tapak pembuangan sampah haram di Negeri Selangor pada Mesyuarat Kedua (Bajet) Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor akan meneruskan penggubalan dan pewartaan enakmen atau undang-undang kecil pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam selepas terdapat 57 tapak pelupusan sampah haram dikenal pasti aktif di negeri ini.

Tapak pelupusan sampah haram dikesan di negeri ini membabitkan kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) iaitu sebanyak 18 tempat dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pula 13 tempat.

Selain itu, lapan masing-masing di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta enam di Majlis Perbandaran Klang (MPK), tiga di Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan satu di Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim menegaskan akta sedia ada iaitu Akta Kerajaan tempatan 1976 tidak mencukupi untuk mengawal operasi tapak pembuangan sampah yang membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat undang-undang kecil.

“Penguatkuasaan bagi Selangor ketika ini adalah terhad di bawah kuasa Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah 2007.

"Denda bagi pembuangan sampah maksimum adalah RM2,000," dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Cheong Kian Young yang mempersoalkan keberkesanan akta sedia ada dan senarai tapak pembuangan sampah haram aktif di Selangor.

Selain itu, Suee Lim berkata, ia turut menghadkan tindakan yang boleh diambil kepada pengusaha atau operator tapak sampah haram.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri sedar dan berusaha menambah baik undang-undang berkaitan dengan menggubal Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pada 2020.

"Namun perkara itu tidak mendapat sambutan daripada Kerajaan Persekutuan pada 2019 dan 2020,” katanya.