Selangor sasar tingkat kutipan hasil RM100 juta - Amirudin

Amirudin menjawab pertanyaan daripada Azmizam semasa sidang DUN Selangor pada Selasa.
Amirudin menjawab pertanyaan daripada Azmizam semasa sidang DUN Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menyasarkan peningkatan hasil berjumlah RM100 juta berdasarkan kepada tiga strategi yang dilaksanakan tahun ini hingga tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan bagi meningkatkan pendapatan negeri iaitu menerusi perkongsian hasil di antara anak syarikat kerajaan negeri dalam bentuk dividen yang ditetapkan dan ia dijangka mampu menyumbang sebanyak RM40 juta.

"Kedua semakan semua kadar bayaran pejabat di bawah Kaedah Tanah Selangor tahun 2023 berikutan kenaikan kos operasi pejabat pentadbiran tanah di Selangor.

"Ketiganya menaikkan caruman parit yang akan ditetapkan pada satu kadar lebih tinggi daripada kadar waktu ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Amirudin memberitahu, kutipan kadar bayaran pejabat dianggarkan berjumlah RM50 juta dan caruman parit pula menyumbang sebanyak RM10 juta.

"Ini bermakna daripada tiga langkah itu, kerajaan negeri dijangka dapat menambah kutipan RM100 juta daripada kutipan yang tidak diperoleh sebelum ini," jelas beliau.

Terdahulu, Amirudin menjelaskan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengkaji peningkatan pendapatan kutipan negeri selain memperkenalkan beberapa kadar bayaran tertentu untuk disemak semula dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kerajaan negeri pada tahun 2021 menggariskan kira-kira 16 cadangan daripada pegawai kewangan negeri apakah hasil baharu yang boleh dikutip untuk memastikan kewangan dan hasil yang mencukupi.

Selain itu, katanya, beberapa langkah sedang dipertimbangkan kerajaan negeri, antaranya permit khas bagi kebenaran penggunaan sementara tanah pertanian yang digunakan untuk tujuan bukan pertanian iaitu perniagaan dan industri ringan di Selangor.

"Langkah lain antaranya pemulihan dan penguatkuasaan melalui permit penggunaan kawasan pencerobohan - pencerobohan di hutan simpan dan caj abstraksi air berdasarkan peruntukan di bawah Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) tahun 1999 ke atas Pengurusan Air Selangor.

"Kerajaan negeri telah pun meluluskan supaya mulai tahun 2023 caj abstraksi air mentah di bawah Seksyen 44 Enakmen LUAS dikenakan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) diterima dan dimasukkan ke akaun hasil disatukan bukan kepada akaun LUAS," tambah beliau.

Amirudin memberitahu, seterusnya kerajaan negeri turut mencadangkan pengeluaran hasil laut di bawah tiga batu nautika oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

"Cadangan pemberi milikan tanah talian rentis TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan Pejabat Tanah Galian dan seterusnya terakhir cadangan caj permit penggunaan tanah bagi lebuh raya yang melalui kawasan hutan simpan.

"Di samping itu, kita juga turut menetapkan pembinaan projek strategik seperti pelabuhan turut dimiliki sebahagian ekuiti oleh kerajaan negeri dan pada masa depan bagi menjamin pengaliran kewangan berterusan," kata beliau.

Amirudin menjelaskan, hasil kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada sumber hasil tanah seperti cukai tanah, premium, permit tanah dan galian serta bayaran perkhidmatan berkaitan tanah yang merupakan penyumbang 80 peratus daripada hasil keseluruhan.

"Bagi hasil cukai tanah pula menyumbang 24 peratus daripada 80 peratus ini," tambah beliau.