Van, bas kecil DRT Selangor mula operasi 20 November

Sasaran tumpuan lokasi DRT adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas. - Gambar hiasan
Sasaran tumpuan lokasi DRT adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengoperasian van dan bas kecil Demand Responsive Transit (DRT) Mobiliti Selangor di bawah projek rintis dijangka bermula pada 20 November depan.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, sasaran tumpuan lokasi adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir sistem pengangkutan awam.

Menurut beliau, projek rintis itu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan di empat kawasan terpilih iaitu di Puchong, Bandar Utama, Ampang dan Subang Jaya.

Sze Han
Sze Han

"Kerajaan negeri di dalam pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2023 telah meluluskan perkhidmatan DRT yang menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan mempunyai laluan sempit.

"Sistem DRT di Selangor adalah merujuk kepada penggunaan sebuah kenderaan secara perkongsian seperti van dan bas kecil yang dipacu oleh perisian pintar bagi memastikan pengguna dari lokasi berbeza dapat diambil dan dihantar ke destinasi berbeza mengikut masa ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Sze Han berkata, perkhidmatan DRT telah dilancarkan semasa Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 pada 20 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, sebagai galakan kepada penggunaan perkhidmatan DRT, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan subsidi kepada setiap pengguna yang dikenakan caj RM2 untuk setiap penggunaan dan lebihan akan ditanggung oleh pihak kerajaan.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga akan memperluaskan penggunaan DRT ke kawasan–kawasan lain.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan perkhidmatan itu dapat terus ditambah baik pihaknya akan mendapatkan hasil dapatan berkaitan maklum balas pengguna daripada empat kawasan perintis tersebut.

"Kita perlu dapatkan maklum balas terlebih dahulu sebelum perkhidmatan van DRT ini diperluas ke lapan zon tambahan menjelang tahun depan," tambahnya.