'Hindari rasuah, salah laku' - KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menyampaikan ucapan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan semua pelatih yang memulakan karier sebagai pegawai polis agar menjauhkan daripada segala bentuk salah laku dan gejala rasuah.

Menurutnya, patuhlah kepada undang-undang negara serta perintah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kerjaya kepolisan menuntut untuk berkorban masa dan tenaga demi tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Tuan-tuan dan puan-puan (pelatih) sendiri telah memilih profesion ini, justeru laksanakanlah tugas dengan penuh suci hati, jujur dan amanah tanpa diselubungi niat-niat lain yang boleh membinasakan diri dan kerjaya," katanya dalam ucapan semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Razarudin bergambar bersama pegawai kanan PDRM serta 538 pelatih pada Majlis Pembarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Tambah Razarudin, beliau telah menetapkan dua fokus utama yang perlu dipatuhi oleh seluruh warga pasukan bagi memastikan PDRM sentiasa berada pada landasan yang betul.

Ujarnya, fokus pertama ialah perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik, manakala fokus kedua pula mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

"Kedua-dua fokus ini perlu digerakkan secara total di setiap peringkat dengan integriti kekal menjadi indikator terpenting dalam membentuk keperibadian pegawai polis yang cemerlang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, perlu diingatkan, bahawa tugas polis merupakan satu amanah yang telah disandarkan di bahu dan akan dihisab di akhirat kelak.

"Jadilah seorang pegawai polis yang berintegriti dan jujur kerana keberkatan dalam pekerjaan itu, membawa keberkatan dalam kehidupan," katanya.

Dalam majlis itu, seramai 538 orang pelatih terdiri daripada 103 wanita dan 435 lelaki berjaya menamatkan latihan selama sembilan bulan bermula 19 Februari lalu.