'Penat, sudah tiga kali pindah tahun ini' - Mangsa banjir

Anggota APM membantu mengangkat Satari yang tidak mampu berjalan untuk keluar dari kawasan rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Bohor, di Alor Setar pada petang Selasa. Gambar kecil: Megat, Satari
Anggota APM membantu mengangkat Satari yang tidak mampu berjalan untuk keluar dari kawasan rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Bohor, di Alor Setar pada petang Selasa. Gambar kecil: Megat, Satari
A
A
A

ALOR SETAR - Banjir yang kembali melanda Kampung Alor Senjaya, di sini selepas kediaman dimasuki air menyaksikan ada penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak tiga kali pada tahun ini.

Seorang peniaga, Megat Mohd Yazis, 41, berkata, mereka reda dengan apa berlaku namun mengakui penat apabila perlu berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, di sini pada September, Oktober dan terbaharu pada petang Selasa.

Menurutnya, banjir yang berlaku beberapa kali sebelum ini menyaksikan mereka bersedia lebih awal dan meletakkan peralatan elektrik di tempat yang tinggi.

"Setiap kali kalau air naik tu memang dah bersedia dah. Kadang-kadang angkat barang letak tinggi tunggu bulan Januari pula kita bawa turun.

"Hujan lebat pada petang lebih dua jam sebabkan air Sungai Anak Bukit naik dengan pantas pada waktu malam dan saya tiada pilihan lain selain menyelamatkan isteri dan anak," katanya yang kerap berdepan pengalaman banjir lebih 30 tahun di kawasan itu.

Seorang lagi mangsa banjir, Satari Reso, 53, dari Kampung Bohor, berkata, dia sekeluarga tiada pilihan untuk berpindah segera ke PPS kerana air masuk ke dalam rumahnya begitu cepat.

Beliau bersyukur kerana anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu mengangkatnya kerana baru sahaja menjalani pembedahan di kaki.

Artikel Berkaitan:

Anggota APM Alor Setar membantu memindahkan penduduk ke PPS SK Titi Gajah, Alor Setar pada petang Selasa.
Anggota APM Alor Setar membantu memindahkan penduduk ke PPS SK Titi Gajah, Alor Setar pada petang Selasa.

"Saya bersama isteri anak perempuan dan dua cucu berpindah ke PPS kerana bimbang air sungai akan terus melimpah dan paras air banjir semakin meningkat," ujarnya.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, seramai 107 mangsa daripada 34 keluarga di Kota Setar dan Kubang Pasu dipindahkan ke tiga PPS setakat jam 8 pagi Rabu.

Menurutnya, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di daerah Kubang Pasu mencatat jumlah seramai 31 mangsa daripada tujuh keluarga.

Di daerah Kota Setar pula, PPS di SK Titi Gajah yang dibuka jam 5.30 petang pada Selasa menempatkan seramai 44 mangsa daripada 18 keluarga.

"PPS baharu yang dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah pada jam 11 malam Selasa menempatkan seramai 32 mangsa daripada sembilan keluarga.

"Antara kampung yang terjejas banjir di daerah Kota Setar adalah di Kampung Alor Gunung, Kampung Pulau Kerengga, Kampung Seberang Chegar, Kampung Perang, Kampung Titi Gajah, Kampung Alor Senjaya dan Kampung Bohor di daerah Kota Setar yang dinaiki air sejak semalam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.