Mangsa banjir meningkat di Perak, satu PPS dibuka di Kedah, Perlis

Penduduk D'Aman Meru Raya melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya pada Isnin. - Foto Bernama
Penduduk D'Aman Meru Raya melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat sedikit pada pagi ini manakala masing-masing satu pusat pemindahan sementara (PPS) di buka Kedah dan Perlis selepas beberapa kampung di kedua-dua negeri itu dinaiki air.

Di PERAK, mangsa banjir meningkat kepada 269 orang daripada 80 keluarga di empat daerah berbanding 227 orang daripada 66 keluarga di dua daerah malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, 24 mangsa daripada lapan keluarga melibatkan tujuh buah kampung di Hulu Perak dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Gerik malam tadi.

"Di daerah Kinta pula, empat mangsa daripada dua keluarga dari Taman Meru 2C ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A dan 19 mangsa daripada enam keluarga pula berlindung di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta," menurut kenyataan itu.

Di Hilir Perak, dua PPS masih dibuka iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 113 orang daripada 34 keluarga manakala jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Chikus kekal seramai 29 orang daripada tujuh keluarga.

Di Kerian pula, 23 orang daripada empat keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala jumlah mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu kekal 57 orang daripada 19 keluarga.

Sementara itu di KEDAH, sebanyak 43 penduduk daripada 11 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di daerah Kubang Pasu selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat selama tiga jam, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, kesemua mangsa adalah penduduk di tiga kampung yang terjejas iaitu Kampung Paya Tok Keong, Kampung Tok Teh dan Kampung Biak.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 11 buah rumah terjejas dan kesemua mangsa dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Malau yang dibuka pada 10.25 malam tadi.

"Hujan lebat berterusan melebihi tiga jam menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air dan pihak Angkatan Pertahanan Awam menerima laporan mengenai kejadian banjir itu pada 5.30 petang," katanya.

Di PERLIS, PPS Dewan Titi Tinggi Hilir dibuka pada 1 pagi tadi bagi menempatkan 44 mangsa daripada 13 keluarga dari Kampung Kampung Titi Tinggi Hilir, Jalan Padang Besar.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, banjir melanda kampung itu berikutan hujan lebat bermula kira-kira 5 petang semalam. - Bernama