Banjir: Pindah tiga hari lebih awal, bergantung pada luruan hujan

Ahmad Zahid(ketika) melihat pelan sempena lawatan ke PLSB Sungai Semantan dekat Mentakab pada Selasa.
Ahmad Zahid(ketika) melihat pelan sempena lawatan ke PLSB Sungai Semantan dekat Mentakab pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - Bakal mangsa banjir di beberapa daerah di negara dinasihatkan untuk berpindah tiga hari lebih awal bergantung kepada luruan hujan luar biasa yang diramalkan bermula pada Rabu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lima daerah terlibat yang bakal mengalami luruan tersebut iaitu di Segamat, Kota Tinggi, Marudu, Kota Belud dan termasuk di Temerloh sendiri.

Menurutnya, ia berdasarkan Pelan Pengurusan Banjir di Kemaman yang dicadangkan untuk dijadikan templat kepada sistem amaran awal banjir negara.

“Dari segi piawaiannya, kita mempunyai sistem amaran awal, lazimnya melalui templat ini senarai bakal mangsa banjir mengikut kelaziman setiap tahun ada pada Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara).

"Kita nasihatkan mereka berpindah awal tetapi bergantung pada luruan hujan yang turun di Temerloh.

"Terdapat beberapa daerah alami luruan hujan luar biasa antaranya Temerloh sendiri serta di Segamat, Kota Tinggi, Marudu dan Kota Belud di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Tapak Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Semantan, Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab dekat sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut memberitahu, bagi menghadapi banjir negara, aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya trak berkapasiti 10 tan ke atas akan diperlukan.

“Kita akan menggunakan aset tentera dan memerlukan trak serta lori ATM terutamanya trak dengan kapasiti 10 tan dan ke atas berbanding lima tan sebelum ini,” ujarnya.

Mengulas pemberian wang ihsan, beliau memberitahu agihan wang ehsan untuk mangsa banjir di seluruh negeri ini telah selesai diserahkan dan pengagihan dibuat berdasarkan senarai yang diterima dalam kejadian banjir lalu.

“Kita tidak menolak kemungkinan kawasan terjejas banjir akan semakin luas dan jumlah mangsa semakin bertambah.

“Kita nasihatkan agar mereka ini mengikut peraturan dan tidak mengambil kesempatan dalam kesempitan,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kerajaan melalui KKDW telah meluluskan peruntukan membaiki 5,100 buah rumah terjejas banjir di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM75,000 bagi setiap rumah.

“Untuk perancangan jangka pendek di setiap peringkat termasuk negeri dan daerah telah selesai dilaksanakan.

“Bagi perancangan jangka sederhana, kerajaan telah luluskan RM66,000 bagi sebuah rumah manakala kerajaan negeri telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM9,000 menjadikan keseluruhan kos bagi sebuah rumah RM75,000 dengan tambahan keluasan dari 700 kaki persegi kepada 1,000 kaki persegi,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid lagi, kerajaan turut meluluskan permintaan tambahan bot sebanyak 14 buah dengan dengan nilai keseluruhan RM259,000 selain turut meluluskan permohonan peruntukan penempatan semula penduduk terjejas banjir di sekitar Lanchang dan Mentakab di bawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) serta pembinaan rumah lima penduduk terlibat projek PLSB.

“Kita juga menerima permintaan bagi pusat pemindahan sementara (PPS) Seberang Temerloh untuk dijadikan pusat pemindahan kekal di mana peruntukan RM3.3 juta diluluskan pada dasarnya sebelum ini dinaikkan kepada RM5 juta,” katanya.