Jangan sampai khazanah alam tergadai

Jangan biarkan pihak yang mementingkan diri sendiri terus bermaharajalela di negara kita. - Gambar hiasan
Jangan biarkan pihak yang mementingkan diri sendiri terus bermaharajalela di negara kita. - Gambar hiasan
A
A
A

HUTAN merujuk kepada kawasan yang ditumbuhi pokok secara meliar dan bercampur-campur. Hutan berbeza dengan ladang yang pipinya ditanam oleh manusia dan pada kebiasaannya dipenuhi hanya satu atau dua spesies pokok sahaja.

Hutan juga dikelaskan mengikut perubahan ciri-ciri ketinggian dari aras laut, gabungan flora, habitat, iklim, tanah dan biotik.

Pengelasan yang ditetapkan adalah seperti hutan paya laut, hutan paya gambut, hutan dipterokarp pamah, hutan dipterokarp bukit dan banyak lagi.

Pencerobohan hutan di negara kita bukan isu baharu, malah berlaku sejak sekian lama. Hutan yang menjadi habitat sebahagian haiwan ‘diteroka’ pihak tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah.

Buktinya, Hutan Simpan Kekal (HSK) Hulu Gombak ditanam durian musang king secara haram sebelum hutan itu digazetkan sebagai HSK pada 2010.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim, hutan itu adalah tanah hak milik kerajaan negeri, namun ditukar status sebagai penggantian kepada HSK yang dinyahwartakan.

Selain itu, pada April tahun lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mengesan lima kes pencerobohan hutan simpan di empat daerah di negeri itu dalam tempoh Januari hingga Februari.

Daripada jumlah itu, dua kes ceroboh hutan dikesan hutan simpan di Temerloh manakala tiga lagi kes melibatkan kawasan hutan simpan di Rompin, Cameron Highlands dan Jerantut.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengatasi ‘tangan rakus’ yang menceroboh hutan kerana kawasan hutan lipur antara lokasi pelancongan yang telah dikenal pasti untuk ditingkatkan liputan talian telekomunikasi menjelang Tahun Melawat Perak 2024.

Menurut Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi, jawatankuasa yang dianggotai pelbagai agensi juga telah dibentuk bagi melancarkan usaha kerajaan negeri memastikan destinasi pelancongan di negeri ini mempunyai liputan talian telekomunikasi terbaik.

Sebenarnya sudah ramai individu yang didakwa di mahkamah atas kesalahan menceroboh hutan di negara kita.

Pada 24 September lalu, sembilan individu termasuk lima warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen Baling atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik.

Bukan itu sahaja, pada 13 April pula seramai 40 individu dituduh ceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang kerana melakukan kegiatan mengorek unsur nadi bumi (REE) secara tidak sah yang didakwa dilakukan oleh warga asing.

Cabaran untuk memelihara kepentingan hutan memerlukan kerjasama semua pihak demi menjaga khazanah negara supaya terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Langkah diambil Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang mewujudkan ‘war room’ iaitu pusat pemantauan menggunakan satelit bagi mengesan sebarang perubahan dan pencerobohan hutan di negara ini tepat pada masanya.

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim mengatakan bahawa pusat pemantauan itu berfungsi untuk menyampaikan maklumat dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di mana daripada ‘war room’ itu akan disampaikan kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk menyemak dan menjalankan tindakan penguatkuasaan melalui pemantauan udara menggunakan dron atau rondaan di darat.

Kerajaan juga telah membuat pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 dengan meningkatkan kadar denda, hukuman dan bidang kuasa kepada Pusat selain kadar penalti tambahan untuk membendung serta membanteras kegiatan pembalakan haram yang merosakkan alam sekitar.

Bagi menangani kes kecurian dan menebang pokok bakau untuk tujuan komersial, JPSM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan sistem ketat bagi mengawal aktiviti berkenaan.

Justeru, marilah kita sama-sama membantu pihak berkuasa bagi membendung pencerobohan hutan daripada terus berlaku.

Jangan biarkan pihak yang mementingkan diri sendiri terus bermaharajalela di negara kita. Disebabkan mahu mengaut untung berganda, khazanah alam tergadai!

* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian