Siasat bakal isteri, jangan sampai 'ternikah' bini orang!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JARANG sangat kita dengar bakal pengantin lelaki ditinggalkan beberapa jam sebelum majlis nikah, tetapi berita yang sedang tular ketika ini memang bikin Merak Jalanan kaget.

Sudahlah bakal pengantin perempuan hilang tanpa berita, kemudian dapat tahu rupa-rupanya dia isteri orang dan ibu kepada dua anak setelah rahsia dibongkar ibu saudaranya sendiri.

Apa yang tragis, sebelum kejadian, segala-galanya nampak sempurna, malah mereka juga telah mengadakan majlis pertunangan pada 12 Oktober tahun lepas dengan dihadiri bapa wanita itu sendiri.

Lelaki itu juga terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM30,000 kerana wang hantaran sudah diserahkan selain wang persiapan untuk majlis perkahwinan telah digunakan.

Sehari sebelum dia sepatutnya bernikah pada 9 November lalu, mangsa juga sudah siap bawa 22 tetamu terdiri daripada saudara-mara dengan menaiki van dan tiga kereta dari Kuching ke Daro, Mukah untuk menginap di sebuah homestay.

Kasihan sungguh Merak Jalanan apabila mengenangkan pemuda yang berasal dari Kuching itu.

Pasti hatinya retak seribu.

Dalam zaman generasi Z ini, selain jenayah love scam, kini sudah muncul wedding scam!

Artikel Berkaitan:

Ini seharusnya jadi pengajaran untuk lelaki agar buat siasatan menyeluruh sebelum mengambil keputusan untuk mengahwini mana-mana gadis pilihan.

Sebaik-baiknya pergilah kursus dan buat permohonan nikah bersama-sama di jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Tapi memang jarang orang pergi jabatan agama untuk permohonan nikah seorang diri saja.

Ini pun dah nampak pelik.

Jangan lupa untuk berkenalan dengan ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara dan sahabat baik pasangan agar kita lebih mengenali diri mereka lebih mendalam.