Banjir kilat, ribut di beberapa kawasan di Meru

Pemandangan dari atas keadaan rumah penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut yang melanda di Taman Meru 2C ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
Pemandangan dari atas keadaan rumah penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut yang melanda di Taman Meru 2C ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Hujan lebat berterusan sehingga lebih dua jam menyebabkan banjir kilat dan sekurang-kurangnya 40 rumah terjejas akibat ribut di beberapa kawasan di Meru, di sini, lewat petang tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata dianggarkan lebih 40 buah rumah terjejas akibat ribut di Taman Meru 2C.

"Sepasukan anggota dan ambulans telah bergerak menuju ke lokasi bagi memantau dan membuat penilaian risiko di kawasan ribut, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Tinjauan mendapati daripada jumlah itu terdapat lebih 10 buah rumah terjejas teruk apabila sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan ribut.

Penduduk didapati sedang mengemas kediaman mereka selepas hujan reda tetapi masih renyai lewat petang ini.

Sementara itu, tinjauan di kawasan D’Aman Residency Meru Raya mendapati puluhan penduduk terpaksa menunggu di tepi jalan dan di dalam kenderaan apabila laluan masuk dari jalan besar ke kawasan kediaman mereka ditenggelami air.

Kenderaan pacuan empat roda melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya hari ini. - Foto Bernama
Kenderaan pacuan empat roda melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya hari ini. - Foto Bernama

Air didapati naik sehingga paras paha menyebabkan kereta dan motosikal gagal melalui kawasan itu, beberapa kenderaan juga didapati ditenggelami air.

Artikel Berkaitan:

Seorang penduduk Nurhafizah Zainal Abidin, 30, berkata, dia yang menaiki motosikal selepas pulang daripada kerja di sebuah farmasi mendapati laluan ke rumahnya telah dinaiki air.

"Saya kena tunggu juga, jika nak jalan kaki pulang pun, motosikal ni takut kena curi pula,” katanya yang telah dua tahun menetap di situ bersama ibu dan bapa saudaranya.

Penduduk D'Aman Meru Raya melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya hari ini. - Foto Bernama
Penduduk D'Aman Meru Raya melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya hari ini. - Foto Bernama

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Afifah,39, pula berkata, selama empat tahun tinggal di kawasan berkenaan, memang ada berlaku banjir kilat tetapi kejadian petang ini adalah antara yang terburuk.

Katanya, biasanya air akan surut selepas dua atau tiga jam hujan berhenti. - Bernama