Sungai Petani dilanda banjir kilat

Anggota bomba membuat pemeriksaan di Jalan Lencongan Timur Sungai Petani iaitu di hadapan HSAH yang turut dinaiki air.
Anggota bomba membuat pemeriksaan di Jalan Lencongan Timur Sungai Petani iaitu di hadapan HSAH yang turut dinaiki air.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Beberapa lokasi di Sungai Petani dilanda banjir kilat menyebabkan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan terkandas.

Antaranya di Kampung Raja, Taman Sejati, Sungai Lalang, Ambangan Heights, Bakar Arang, Padang Temusu, Taman Keladi, Jalan Bakar Sampah, Taman Mutiara Indah dan Taman Songket.

Turut dilaporkan terjejas ialah Sekolah Kebangsaan Bukit Kiara yang terletak bersebelahan dengan loji kumbahan di Taman Ria Jaya di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, disebabkan paras air naik mendadak, seorang warga emas di Kampung Raja dipindahkan ke tempat selamat.

Menurutnya, lelaki berusia 70-an itu dipindahkan ke kediaman saudara bagi memastikan keselamatan terjamin.

"Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada jam 5.26 petang.

"Setibanya ke lokasi mendapati terdapat banjir kilat di beberapa kawasan termasuk hadapan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)," katanya.

Difahamkan, paras air mencecah 0.3 hingga 0.5 meter menyebabkan kebanyakan pengguna yang melalui jalan terjejas terkandas.

Artikel Berkaitan:

Penduduk dinasihatkan berpindah ke kawasan selamat sekiranya paras air meningkat.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, hujan lebat sejak jam 4 petang menyebabkan limpahan air secara mengejut dan berlebihan.

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan kerosakan harta benda milik mangsa.

"Kami menerima laporan bahawa terdapat banjir kilat di Gurun, Sungai Petani, Semeling dan Sungai Pasir, namun jumlah sebenar mangsa masih dalam bancian," katanya.