Penjara 12 tahun: Rayuan Siti Bainun didengar esok

Siti Bainun
Siti Bainun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berhubung sabitan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa.

Menerusi semakan sistem mahkamah, prosiding ditetapkan selama satu hari dan didengar di hadapan Hakim, Datuk Noorin Badaruddin, pada jam 9 pagi.

Siti Bainun yang dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman tersebut, difahamkan turut mempunyai satu lagi permohonan rayuan (diketahui pada Selasa) dan akan dijalankan di mahkamah sama.

Pada 3 Mei lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 23 Mei, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keadaan khas lepaskan Siti Bainun daripada penjara - Hakim

Siti Bainun kekal dipenjara, permohonan tangguh hukuman ditolak

Siti Bainun tenang biarpun diperintah ke penjara serta-merta

Tindakan Siti Bainun kejam, patut dihukum berat - Hakim

Lapan alasan hakim jatuh hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun