Tiada keadaan khas lepaskan Siti Bainun daripada penjara - Hakim

Siti Bainun Ahd Razali
Siti Bainun Ahd Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Sebelum ini, wanita berusia 31 tahun ini memohon menangguhkan hukuman itu dengan menyatakan sembilan alasan iaitu Siti Bainun telah memfailkan rayuan sabitan hukuman di Mahkamah Tinggi, ini merupakan kesalahan pertamanya, tidak pernah melanggar syarat jaminan dan dia mempunyai masalah kesihatan.

Dia yang hadir di mahkamah dengan memakai blaus berwarna hitam turut menaikkan alasan perlu menanggung ibu yang sakit, menjaga seorang kanak-kanak dan menyatakan rayuannya bermerit dengan peluang yang tinggi untuk berjaya.

Siti Bainun kelihatan susut berat badan, turut menyatakan penangguhan hukuman penjara wajar diberi kerana aktif dalam kerja amal dan dia merupakan seorang wanita.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hakim, Datuk Ahmad Bache berkata, menerusi afidavit sokongan Siti Bainun menyatakan mempunyai masalah kesihatan seperti asma, hempedu, dan gerd (gastrik).

“Tiada laporan pakar dikemukakan sedangkan beban pembuktian terletak di bahu wanita terbabit.

“Mahkamah hanya dibekalkan laporan perubatan bertarikh 6 Disemberi 2022; surat kemasukan hospital (28 November 2022) dan gambar hidung serta bibir yang tidak dapat membantu mahkamah,” kata hakim itu.

Sebaliknya beliau berkata, pihak pendakwaan selaku responden, memfailkan afidavit daripada Pegawai Perubatan Klinik Penjara Wanita Kajang, Dr S Sunita menyatakan, tertuduh selaku pemohon adalah stabil, tidak mengalami komplikasi kesihatan dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.

Malah doktor itu menyatakan, pihak penjara mempunyai kemudahan dan akses yang mencukupi untuk merawat pemohon.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, dalil Siti Bainun merupakan seorang seorang wanita terpaksa menanggung ibu sakit, menjaga seorang kanak-kanak dan bergiat aktif dalam kerja amal bukanlah suatu keadaan khas yang mewajarkanya permohonan berkenaan.

Katanya, alasan menyara ibu dan kanak-kanak merupakan isu peribadi yang mana mahkamah telah memutuskan bahawa faktor kemanusiaan melibatkan keluarga tanpa sebarang keadaan khas adalah tidak memadai untuk mendapatkan penangguhan perlaksanaan hukuman.

“Hujahan aktif dalam kerja amal juga bukan keadaan khas kerana ramai sukarelawan yang terus bergiat di dalam badan kebajikan.

“Jika permohonan ini dibenarkan beliau akan terus bergiat cergas dan mungkin melakukan kesalahan sebegini lagi kerana pemohon mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan,” katanya.

Susulan hujahan oleh peguambela itu, beliau berkata, pemohon tidak dapat menunjukkan alasan-alasan yang dikemukakan adalah terjumlah kepada keadaan khas atau luar biasa.

Oleh itu katanya, permohonan Siti Bainun untuk penggantungan perlaksanaan ditolak.

Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun berhubung kes mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella.

Selepas keputusan dibaca, suasana di luar mahakamah bertukar kecoh apabila seorang saksi pendakwaan meninggikan suara terhadap seorang saksi yang menyebelahi Siti Bainun.

Saksi Siti Bainun itu kemudiannya meninggalkan mahkamah dalam keadaan menangis.