Rumah Bonda dibenar buat semakan kehakiman cabar sita premis

JKM menyita sebuah rumah kebajikan yang dikenali Rumah Bonda di Setapak, Kuala Lumpur pada 12 Julai 2021.
JKM menyita sebuah rumah kebajikan yang dikenali Rumah Bonda di Setapak, Kuala Lumpur pada 12 Julai 2021.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa, membenarkan Rumah Bonda untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan ke atas premis kebajikan itu, dua tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said, sebulat suara bersetuju terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda ini dan semakan kehakiman berkenaan perlu dibicarakan secara substantif di Mahkamah Tinggi.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah memberi kebenaran kepada rumah kebajikan itu selaku perayu.

"Susulan itu, keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan," katanya ketika prosiding dijalankan secara dalam talian dan menetapkan pengurusan kes semakan kehakiman berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Ogos depan.

Panel hakim ini tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Dalam prosiding ini, Rumah Bonda diwakili peguam, Asiah Abd Jalil manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nur Idayu Amir bertindak bagi pihak Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rumah Bonda atau atau nama rasminya Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 November 2021 yang menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Pengarah JKM Wilayah Persekutuan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung tindakan lak itu.

Rumah kebajikan ini memfailkan permohonan itu menerusi pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali antara lain mendakwa Tindakan Notis Lak dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai tahun sama dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap remaja berumur 13 tahun dikenali sebagai Bella di premis berkenaan.

Menerusi permohonan difailkan pada 13 Ogos 2021, Rumah Bonda mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penderaan terbabit sedangkan remaja berkenaan tiada kaitan dan bukan penghuni rumah itu.

Sebaliknya, Rumah Bonda itu mendakwa, Bella merupakan anak jagaan Siti Bainun yang diperintahkan oleh Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur pada 14 Julai 2021 atas kapasiti peribadi sebagai Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun dipenjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.