Jangan kompromi dengan kes buli di sekolah

Buli boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi dalam kehidupan sama ada tempoh masa yang pendek atau berpanjangan. - Gambar hiasan
Buli boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi dalam kehidupan sama ada tempoh masa yang pendek atau berpanjangan. - Gambar hiasan
A
A
A

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat kes buli berlaku dalam kalangan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Jika berlaku kes buli, Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dengan tegas berkata: “Biarlah anak VIP atau VVIP mana sekalipun, ‘you touch you go’ (awak sentuh, awak pergi)!”

Buli adalah isu yang serius. Ia adalah perbuatan tingkah laku agresif yang berulang bertujuan untuk menyakiti individu lain, dari segi fizikal, mental atau emosi.

Statistik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan lebih 14,000 kes buli di sekolah-sekolah seluruh negara antara tahun 2012 dan 2015, sebahagian besarnya melibatkan penderaan fizikal.

KPM turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

Bagi sesetengah pelajar sekolah, antara sebab mereka membuli adalah kerana ingin menunjukkan senioriti dan kekuatan mereka kepada pelajar yang lebih lemah.

Ada sesetengah pembuli sengaja ingin mencari perhatian.

Kekurangan kasih sayang atau perhatian apabila di rumah akan memberikan tekanan kerana tiada tempat mengadu dan kemahuan untuk melepaskan tekanan tersebut disalurkan dengan membuli pelajar lain.

Artikel Berkaitan:

Buli boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi dalam kehidupan sama ada tempoh masa yang pendek atau berpanjangan.

Mangsa mungkin mengambil keputusan untuk tukar sekolah kerana berasa takut kepada si pelaku yang tidak dibuang sekolah.

Ibu bapa mangsa pula mungkin berasa ketidakadilan berlaku kerana anaknya yang perlu mengalah tanpa sebab.

Konsep ‘you touch you go’ ini perlu diguna pakai tanpa kompromi, tidak kira mangsa cedera serius atau tidak sebagai amaran dan pengajaran kepada semua pelajar asrama bahawa mereka akan terima hukuman keras jika melakukan buli fizikal.

Namun begitu, selain buang sekolah, realitinya pihak pengurusan sekolah mempunyai beberapa pilihan hukuman untuk kes buli antaranya amaran keras, rotan dan gantung sekolah.

Pengetua dan pengurusan sekolah tentunya lebih arif hukuman mana yang paling sesuai dengan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar yang membuli.

Pelbagai pemberat tentunya diambil kira sebelum menjatuhkan hukuman terhadap pelajar terbabit.