Diesel ‘satukan’ AS-Rusia

KALAU sebelum ini Amerika Syarikat (AS) dan Rusia sering bertelagah, siapa sangka urusan diesel membuka ruang untuk kedua-dua negara bekerjasama.
Dalam keadaan hubungan diplomatik yang masih tegang, perkembangan itu menimbulkan persoalan: Adakah diesel mampu menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan dua kuasa besar dunia itu?
Pada 9 Oktober lalu, Presiden Donald Trump mengumumkan persetujuan dengan Presiden Vladimir Putin untuk menambah bekalan diesel ke pasaran AS dan global. Trump menyatakan lebih 300,000 tan metrik akan dibekalkan pada peringkat awal disusuli 1.5 juta tan.
Pada 22 Oktober, sebuah kapal tangki yang membawa 40,000 tan metrik diesel menuju ke New York yang merupakan penghantaran sejak 2022.
Lebih menarik, pada 9 Oktober lalu, Jabatan Perbendaharaan AS mengeluarkan lesen khas yang membenarkan urus niaga berkaitan diesel Rusia termasuk penjualan, penghantaran dan import.
Kebenaran itu berkuat kuasa sehingga 7 April 2027. Ia memperlihatkan perubahan ketara dalam pendekatan Washington terhadap sekatan tenaga Moscow.
Perkembangan ini mengundang persoalan tentang kesetiaan Washington terhadap sekutunya, Kiev?
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dengan lantang mengkritik kesepakatan itu kerana Kiev bimbang jika hasil jualan tenaga boleh membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi Moscow ketika kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu masih berperang.
Dalam hal ini, jelas bahawa kepentingan ekonomi boleh membuka pintu yang sebelum ini tertutup rapat akibat pertelingkahan politik. Apabila harga bahan api meningkat dan bekalan menjadi isu, negara yang pernah saling mengenakan tekanan berusaha mencari ruang untuk berunding.
Namun, kerjasama diesel ini tidak bermakna AS dan Rusia sudah mencapai rekonsiliasi. Sebaliknya, ia hanyalah langkah strategik dalam perdagangan yang didorong oleh kepentingan ekonomi kedua-dua negara.
Diesel mungkin membuka lembaran baharu dalam perdagangan kedua-dua negara, namun untuk membina semula kepercayaan yang sekian lama terhakis akibat persengketaan, perjalanan menuju perdamaian masih jauh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
