Pelajar kena berani buat laporan elak jadi mangsa buli

Khairudin
Khairudin
A
A
A

IPOH - Pelajar perlu berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi mengelak menjadi mangsa buli atau penderaan di sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, tindakan awal boleh diambil oleh pihak berkaitan bagi memastikan kejadian itu tidak terus menular dalam kalangan pelajar.

"Mangsa buli kena beranikan diri untuk membuat laporan atau aduan kepada pihak berwajib khususnya kepada warden, pengetua atau guru besar supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

"Saya setuju dengan pendapat Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (Pengerusi Majlis Amanah Rakyat) bahawa tiada kompromi bagi mereka yang melakukan kesalahan.

"Tiada kompromi, maksudnya yang salah tetap salah. Mereka sepatutnya menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Dewan Belia Negeri Perak sesi 2023/2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut kejadian buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Khairudin berkata, semua pihak disarankan tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis.

"Tidak perlu buat andaian-andaian sendiri sebab ia akan memburukkan lagi keadaan yang menyebabkan berlaku pertikaian, perselisihan dan sebagainya.

"Jadi, kita beri mandat kepada pihak berkuasa khususnya polis dalam melakukan siasatan dan apabila hasil siasatan diperoleh semua pihak wajar menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, bekas Exco, Ahmad Saidi Mohamad Daud mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Belia Negeri Perak manakala Mohd Adri Adha Mohamad dan Muhammad Puhaz Saleh pula sebagai Timbalan Speaker.

Ahmad Saidi (dua dari kiri) menerima watikah pelantikan Speaker Dewan Belia Perak daripada Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Dewan Belia Negeri Perak sesi 2023/2024 di Ipoh pada Khamis.
Ahmad Saidi (dua dari kiri) menerima watikah pelantikan Speaker Dewan Belia Perak daripada Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Dewan Belia Negeri Perak sesi 2023/2024 di Ipoh pada Khamis.

Khairudin berkata, pemilihan Ahmad Saidi bertepatan berdasarkan latar belakangnya sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri sebelum ini.

"Speaker ini bertanggungjawab menentukan hala tuju dan proses perjalanan persidangan itu nanti dengan baik.

"Jadi, dengan pemilihan Ahmad Saidi ini saya cukup yakin dan percaya dengan pengalamannya, sudah pasti beliau mampu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.

Tambah Khairudin, Persidangan Dewan Belia Perak akan berlangsung pada 23 dan 24 Disember depan yang mana ia akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.