Wanita maut selepas ikut nasihat ChatGPT ubah dos ubat

Bowen Wan menghidap epilepsi sejak lebih sedekad lalu dan bergantung kepada ubat bagi mengawal serangan sawan. Foto Agensi
Bowen Wan menghidap epilepsi sejak lebih sedekad lalu dan bergantung kepada ubat bagi mengawal serangan sawan. Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK – Keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat komplikasi epilepsi di Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap OpenAI selepas mendakwa ChatGPT memberikan nasihat berbahaya yang mendorong mangsa mengurangkan dos ubat tanpa pengawasan doktor.

Menurut laporan The New York Times, saman itu difailkan pada Selasa terhadap OpenAI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman susulan kematian Bowen Wan, 31, di apartmennya di Seattle pada Februari lalu.

Wan, seorang bekas jurutera perisian Amazon, menghidap epilepsi sejak lebih sedekad lalu dan bergantung kepada ubat bagi mengawal serangan sawan.

Bagaimanapun, keluarga mangsa mendakwa beliau mula mendapatkan nasihat ChatGPT untuk mengubah dos ubat selepas bimbang kesan sampingannya menjejaskan keupayaan berfikir, bercakap dan mendapatkan pekerjaan baharu.

Wan kehilangan pekerjaan di Amazon pada November 2025 dan perlu mencari pekerjaan lain bagi membolehkannya terus menetap di AS.

Menurut dokumen saman, pada Januari lalu, Wan bertanya kepada ChatGPT mengenai pengurangan dos ubat epilepsi daripada 400 miligram kepada 300 miligram sehari sebelum menurunkannya kepada 200 miligram.

Chatbot itu pada mulanya dilaporkan menasihatkan beliau supaya mendapatkan pandangan doktor, namun kemudian didakwa menggalakkannya meneruskan pengurangan dos secara sendiri.

Malah, keluarga mendakwa ChatGPT menyediakan pelan untuk mengurangkan dos ubat daripada 400 miligram sehingga dihentikan sepenuhnya dalam tempoh beberapa minggu.

Ketika menjalani perubahan dos tersebut, Wan dilaporkan mengalami gejala membimbangkan termasuk kekeliruan dan gangguan ingatan.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan itu, mangsa menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan kesihatannya sebanyak 158 kali, namun chatbot berkenaan didakwa berulang kali memberikan respons yang menenangkan tanpa menekankan kepentingan mendapatkan bantuan perubatan.

Pakar neurologi yang merawat Wan, Dr Nicholas Poolos berkata, beliau tidak akan mengesyorkan pengurangan ubat epilepsi bagi pesakit seperti mangsa, khususnya apabila rawatan sedia ada berkesan mengawal sawan.

Kematian Wan hanya disedari selepas ibu bapanya yang menetap di China gagal menghubunginya selama beberapa hari.

Mereka kemudian meminta seorang rakan memeriksa keadaan Wan sebelum menyaksikan menerusi panggilan video bahawa anak perempuan mereka ditemukan meninggal dunia di apartmennya.

Punca kematian rasmi dikenal pasti sebagai Sudden Unexpected Death in Epilepsy (SUDEP), iaitu kematian mengejut yang tidak dijangka dalam kalangan penghidap epilepsi.

Bapa mangsa, Qun Wan mendakwa nasihat yang diberikan ChatGPT telah mempengaruhi keputusan anaknya untuk mengubah rawatan tanpa mendapatkan persetujuan doktor.

Menurut dokumen saman, keluarga berpendapat chatbot itu telah bertindak seolah-olah memberikan nasihat perubatan profesional, selain menggambarkan doktor sebagai pihak yang boleh diketepikan dalam proses membuat keputusan mengenai rawatan.

Sementara itu, jurucakap OpenAI, Drew Pusateri menyifatkan kejadian tersebut sebagai tragedi yang amat menyedihkan.

Beliau menegaskan bahawa ChatGPT bukan pengganti kepada rawatan perubatan profesional, namun teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh membantu pengguna memahami maklumat kesihatan, menguruskan urusan berkaitan insurans serta membuat persediaan sebelum berjumpa doktor.

OpenAI turut memaklumkan bahawa model GPT-4o yang digunakan Wan tidak lagi tersedia dalam ChatGPT.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa nasihat ChatGPT menyumbang kepada kematian mangsa masih belum dibuktikan di mahkamah. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!