Mangsa banjir di Selangor turun, Perak meningkat

Keadaan banjir di Kampung Cemperai, Dengkil - Foto Bernama
Keadaan banjir di Kampung Cemperai, Dengkil - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Selangor mencatatkan penurunan, namun tidak bagi Perak kerana jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat setakat pagi ini.

Di SELANGOR, sebanyak 740 mangsa banjir daripada 186 keluarga ditempatkan di 10 PPS setakat jam 8 pagi ini dan jumlah itu berkurang berbanding 792 orang daripada 200 keluarga yang dilaporkan malam tadi.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 10 PPS yang dibuka membabitkan daerah Sepang (lima), Hulu Langat (dua), Petaling (satu) dan Kuala Langat (dua).

Sementara itu di PERAK, jumlah mangsa terus meningkat dengan 470 orang daripada 145 keluarga ditempatkan di lima PPS di dua daerah yang terjejas, berbanding 458 mangsa banjir daripada 139 keluarga malam tadi.

Chikus di daerah Hilir Perak menjadi kawasan baharu terjejas banjir dan satu PPS dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Chikus yang menempatkan 13 mangsa daripada enam keluarga.

Selain Chikus, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan 163 lagi mangsa daripada 51 keluarga berlindung di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan menempatkan 140 orang daripada 45 keluarga.

"Bagi daerah Kerian pula, 97 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berada di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih pada tahap bahaya iaitu 4.30 meter (m), manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pada paras berjaga-jaga iaitu 13.36 m. - Bernama

Artikel Berkaitan: