Harimau belang mati dilanggar treler

Seekor harimau belang ditemukan mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuh Raya Utara- Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, Gopeng. - Foto ihsan pembaca
Seekor harimau belang ditemukan mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuh Raya Utara- Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, Gopeng. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Seekor harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di Sahom, dekat Kampar ditemui mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuh Raya Utara- Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, di sini pada Rabu.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, maklumat kejadian itu diterima pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sekitar jam 12.30 tengah malam.

"Karkas harimau berkenaan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut.

"Kita percaya harimau belang berusia antara lapan hingga 10 tahun itu adalah haiwan yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Kok Lim berkata, kes-kes harimau berkeliaran di kawasan hutan atau kampung yang dilaporkan baru-baru ini adalah disebabkan kekurangan sumber makanan.

Karkas harimau berkenaan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan pembaca
Karkas harimau berkenaan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan pembaca

"Punca utama akibat wabak demam babi Afrika (ASF) yang menyebabkan populasi babi hutan turun mendadak.

"Harimau ini akan merayau hingga ke pinggir kampung mengesan lembu orang kampung yang dibiarkan bebas dalam ladang sawit atau pinggir hutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kok Lim berkata, pemerhatian dijalankan Perhilitan Perak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan mendapati populasi babi hutan itu masih berkurangan.

"Potensi binatang buas ini untuk kembali semula ke hutan tebal kekal rendah dan menjadikan lembu milik penduduk sebagai diet baharu yang mudah diserang," katanya.

Mengulas kejadian itu, Kok Lim bersedih akan kehilangan seekor lagi harimau belang yang kini diancam kepupusan.