Lembu bunting dibaham harimau belang

Aris Awang, 53, menunjukkan bangkai lembu betina miliknya yang berada di pinggir bukit dipercayai diheret harimau di Kampung Kundur. - Foto Bernama
Aris Awang, 53, menunjukkan bangkai lembu betina miliknya yang berada di pinggir bukit dipercayai diheret harimau di Kampung Kundur. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk Kampung Kundur di sini menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera susulan kes seekor lembu bunting ditemukan dengan kesan dibaham harimau belang di sebuah kebun, semalam.

Aris Awang, 53, berkata, lembu miliknya itu ditemukan dalam keadaan cedera pada bahagian belakang badan bersama janin anak lembu yang dikatakan ditarik keluar haiwan berkenaan pada Jumaat, kira-kira jam 10 pagi.

Bagaimanapun, Aris berkata kira-kira jam 11 pagi hari ini beliau mendapati bangkai lembu itu telah diseret hingga ke pinggir bukit kira-kira 50 meter dari lokasi asal dan bangkai janin telah tiada.

Aris menunjukkan kesan cakaran harimau pada badan bangkai lembu betina miliknya. - Foto Bernama
Aris menunjukkan kesan cakaran harimau pada badan bangkai lembu betina miliknya. - Foto Bernama

Kejadian itu katanya, pertama kali berlaku selama beliau mengusahakan ternakan lembu sejak lebih lima tahun lepas dan mengakui sebelum ini pernah melihat kelibat harimau belang.

"Kami telah memaklumkan kes serangan ini kepada Perhilitan dan berharap pihak tersebut membuat siasatan segera," katanya.

Pekebun dan penternak, Mohd Faizul Mohd Nor, 35, pula berharap Perhilitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengelak ternakan lain terkorban akibat serangan haiwan pemangsa itu.

Aris menunjukkan kesan tapak kaki harimau yang berkeliaran selepas membaham lembu miliknya di Kampung Kundur di sini. - Foto Bernama
Aris menunjukkan kesan tapak kaki harimau yang berkeliaran selepas membaham lembu miliknya di Kampung Kundur di sini. - Foto Bernama

"Selain itu kami juga bimbang untuk keluar bekerja di kebun kerana harimau berkenaan dikatakan masih berkeliaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim turut berharap Perhilitan dapat melaksanakan tindakan drastik sebelum perkara tidak diingini berlaku kepada lebih 50 pekebun termasuk penternak di kawasan itu.

"Tindakan susulan seperti pemasangan perangkap dan pemantauan daripada anggota Perhilitan perlu dilakukan bagi meredakan kebimbangan penternak dan pekebun," katanya. - Bernama