Tak puas hati dimasukkan ke sekolah Henry Gurney punca lelaki dipukul

Tular video insiden melibatkan seorang lelaki dipukul dua individu yang tular di media sosial pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Zaid
Tular video insiden melibatkan seorang lelaki dipukul dua individu yang tular di media sosial pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Zaid
A
A
A

KAJANG - Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang lelaki cedera dipukul dua individu dalam kejadian di sebuah kedai menjual peralatan memancing menerusi video tular pada Rabu.

Bagaimanapun tindakan kedua-dua individu berumur 20 dan 22 tahun itu membawa padah apabila berjaya diberkas polis susulan kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang pada 4 November lalu.

"Siasatan mendapati mangsa merupakan individu warga tempatan berumur 20 tahun itu didatangi dua individu sebelum mangsa dipukul menggunakan topi keledar.

"Salah seorang suspek turut menumbuk mangsa di bahagian mulut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan ringan akibat kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca akibat salah seorang suspek tidak berpuas hati dengan mangsa.

"Mangsa bersama suspek terbabit sebelum ini ditahan sebelum didakwa di Mahkamah Kajang berkaitan kesalahan menunggang serta memiliki motosikal curi.

"Suspek tidak berpuas hati kerana mangsa hanya didenda manakala suspek dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan telah dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya ditangkap oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924 bagi membantu siasatan," katanya.