Seorang maut, lima cedera nahas dua kenderaan

Anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 436.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Utara, di Hulu Selangor, pada Isnin.
Anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 436.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Utara, di Hulu Selangor, pada Isnin.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang lelaki maut, manakala lima lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 436.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Utara, di sini, pada Isnin.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chin Kian Hong, 33, manakala lima mangsa yang cedera terdiri daripada empat warga asing dan seorang tempatan, berusia 22 hingga 57 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.04 pagi.

"Sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Mukhlis berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta Mazda 3 dan sebuah lori satu tan.

"Terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu kereta, anggota bomba bertindak memotong pintu kenderaan itu menggunakan peralatan hidraulik untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Pada masa sama katanya, lima mangsa dalam lori berkenaan berjaya keluar sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Empat mangsa mengalami luka, manakala seorang lagi sakit di bahagian dada telah dibawa ke hospital dengan menggunakan kenderaan awam," katanya.

Menurutnya, difahamkan lima individu tersebut sedang melaksanakan kerja penyusunan kon di lorong kanan untuk kerja penyelenggaraan lebuh raya tersebut.

"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.