Lelaki cedera lawan peragut

Seorang lelaki cedera selepas bertindak melawan peragut yang cuba merampas begnya dalam kejadian samun di Seksyen 27, Shah Alam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
Seorang lelaki cedera selepas bertindak melawan peragut yang cuba merampas begnya dalam kejadian samun di Seksyen 27, Shah Alam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki cedera selepas bertindak melawan peragut yang cuba merampas begnya dalam kejadian samun di Seksyen 27, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian 5.50 pagi itu, lelaki tersebut mengalami kecederaan akibat disamun ketika berjogging pada awal waktu pagi di kawasan perumahannya.

Beliau berkata, suspek yang bermotosikal dan bersenjatakan parang telah datang ke arah mangsa dan merampas beg milik mangsa.

"Tindakan menarik semula beg yang cuba disamun telah menyebabkan suspek bertindak mencederakan mangsa.

"Mangsa berusia 30 tahun dan bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur yang cedera itu mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Iqbal berkata, tiada sebarang kerugian dialami mangsa dan polis menerima laporan yang dibuat oleh kakak mangsa pada 8.30 malam semalam.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat menjalankan risikan bagi mengesan suspek.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Anis Shafika di talian 011-10951310 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: