'Persidangan anti jawi Dong Zong cabar usaha perpaduan nasional'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menganjurkan persidangan bagi membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular disifatkan sebagai tindakan mencabar usaha perpaduan nasional.

Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (Macsa), Lukman Sheriff Alias berkata, pihaknya memandang dengan penuh kebimbangan perkara itu yang hanya akan menyemarakkan jurang antara kaum.

"Jawi yang bakal diajar untuk pelajaran Bahasa Melayu adalah sebanyak tiga halaman saja dan hanya bertujuan memberikan pengenalan kepada tulisan jawi yang terdapat pada lambang negara, setem dan mata wang kita yang sudah pun diguna pakai tidak kurang daripada 60 tahun.

"Bahkan Kementerian Pendidikan juga cukup berlembut dengan menyatakan pembelajaran tulisan jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan," katanya dalam satu kenyataan akhbar bersama Pengerusi bersama Macsa, Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

ARTIKEL BERKAITAN: Dong Jiao Zong anjur persidangan bantah tulisan jawi di sekolah vernakular

Anwar gesa Dong Zong batal persidangan anti jawi

Sebelum ini, Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong mengumumkan akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada Sabtu ini untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan jawi di sekolah vernakular.

Lukman Sheriff berkata, jelas sekali, sebarang penentangan terhadap pembelajaran jawi adalah tidak munasabah dan berpunca daripada sikap prejudis dan Islamofobik yang mendalam.

Artikel Berkaitan:

"Keengganan Dong Zong untuk memperkasakan bahasa kebangsaan melalui pembelajaran tulisan jawi akan terus menerus melahirkan generasi rakyat Malaysia yang memerlukan terjemahan surat rasmi berbahasa Mandarin, dan matlamat bahasa kebangsaan sebagai penyatuan rakyat akan terus berkubur," katanya.

Dalam pada itu Lukman Sheriff berkata, apa yang lebih dikesali Macsa apabila Dong Zong menolak pembelajaran jawi atas alasan ia mengkhianati bangsa dan budaya mereka.

Beliau berkata, ini sekali gus memberi gambaran bahawa budaya bahasa kebangsaan tidak patut dipelajari oleh bangsa mereka.

Menurutnya, ini sudah tentu akan membantutkan sebarang usaha menyemarakkan toleransi dan perpaduan nasional.

Katanya, perpaduan nasional adalah terkandung dalam perjuangan hak asasi manusia kerana sebarang kegagalan kerajaan untuk menzahirkan perpaduan nasional memberikan isyarat bahawa rakyat sesebuah masyarakat berbilang latar belakang akan terus hidup dalam keadaan toleransi yang rendah.

"Lebih buruk lagi apabila perpaduan nasional tidak dipandang serius sehingga menidakkan hak asasi manusia untuk hidup aman dalam komuniti secara bersama seperti yang dihasratkan dalam Artikel 27 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR)," katanya.

Katanya, ini jugalah yang ditekankan melalui syor-syor yang diberikan negara-negara luar kepada Malaysia dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang lalu.

"Rakyat Malaysia perlu menolak sekeras-kerasnya kongres Dong Zong yang berniat untuk membantah pembelajaran jawi di sekolah vernakular dan mendesak lebih banyak inisiatif kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional di antara masyarakat berbilang bahasa di Malaysia, bagi memastikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan hak asasi manusia seperti yang disyorkan dalam proses UPR dihormati," katanya.