704 mangsa sindiket penipuan pekerjaan dikesan daftar dengan KLN

Mohamad berucap pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Mohamad berucap pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 704 mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara dikesan mendaftar dengan Kementerian Luar (KLN) dengan 518 daripadanya berjaya dibawa pulang setakat Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya memohon kerjasama semua pihak untuk memberi maklumat dengan pihak berwajib susulan lebih 2,000 dalam kalangan mereka dilaporkan berada di luar negara akibat ditipu sindiket.

Ahli Parlimen Kimanis itu memaklumkan, KLN juga sedang berusaha untuk mengenal pasti 26 lagi mangsa warganegara Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dan menunggu 'lampu hijau' daripada pihak berkuasa negara itu untuk membolehkan pihaknya membuat perbincangan.

"Data rasmi Kementerian Luar bagi mangsa yang dijejaki dan kesan adalah 704, yang berjaya diselamatkan 518 manakala 186 lagi sedang dikesan. Banyak laporan media yang melaporkan lebih daripada itu, ada yang kata sampai 2,000 orang.

“Barangkali ini yang belum berdaftar dan dijejaki oleh kita. Jadi kita memohon kerjasama semua pihak, sekiranya ada maklumat, berikan kepada kami untuk mengesan dan membawa pulang mangsa," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Mohamad, KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar dengan kerjasama di antara Thailand, Vietnam, Filipina dan China sedang menyelaras serta menggunakan segala alternatif bagi membawa pulang mangsa-mangsa terlibat dengan selamat.

“Dalam masa yang sama, KLN ingin mengingatkan semua warganegara Malaysia supaya sentiasa peka dan berwaspada apabila menerima sebarang tawaran pekerjaan yang diterima menerusi platform media sosial yang meragukan.

"Jika ada sebarang tawaran-tawaran ini, sebelum menerima, mohon supaya periksa terlebih dahulu. Pergi balai polis berhampiran, minta bantuan mereka, dapatkan maklumat sama ada betul atau tidak," ujarnya.

Artikel Berkaitan: