X

Kindly register in order to view this article
!

Dong Zong digesa tangguh kongres bantah jawi, beri ruang berdialog

Mujahid Yusof (gambar kecil) berkata, perkara itu perlu dibawa kembali ke meja rundingan untuk mencari titik persetujuan bersama.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menggesa Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menangguhkan hasrat penganjuran kongres membantah pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu dibawa kembali ke meja rundingan dan ruang berdialog juga diperlukan untuk mencari titik persetujuan bersama.

"Pihak yang menentang sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen kerana tindakan mengadakan bantahan melalui kongres akan mendapat reaksi negatif daripada yang menyokongnya.

"Atas reaksi spontan yang lebih memudaratkan inilah maka satu keputusan penuh berhikmah perlu dibuat. Semua kita perlu mengambil tanggungjawab untuk mencapai kata persetujuan demi kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut mempersoalkan sebab jawi menjadi masalah kepada negara sedangkan mahkamah menetapkan keputusan bahawa mengajar jawi tidak bercanggah secara perlembagaan.

"Setiap kita akan tertanya mengapakah ada pihak yang tetap berkeras untuk memanjangkan isu tulisan jawi melalui bantahan berterusan?

"Logik pembelajaran jawi tersebut yang dikatakan 'mahu mengislamkan pelajar bukan Islam sangat terhad sekadar untuk memperkenalkan warisan budaya dan sejarah negara," katanya.

Dong Zong dilaporkan menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres dijadual berlangsung Sabtu depan bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular kerana didakwa bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Dong Zong bahawa penganjuran kongres berkenaan akan membawa kepada kekacauan dan 'reaksi' orang Melayu.

“Kita adalah sebuah negara yang berbilang kaum, adalah penting bagi kita untuk mengambil berat tentang perasaan orang lain," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus