307 mangsa banjir berlindung di tiga PPS

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau lokasi rumah penduduk di Hilir Perak yang dinaiki air pada Selasa. Foto: ihsan APM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau lokasi rumah penduduk di Hilir Perak yang dinaiki air pada Selasa. Foto: ihsan APM
A
A
A

IPOH - Seramai 307 orang daripada 90 keluarga masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak setakat jam 4 petang berbanding 299 orang yang dilaporkan pagi Selasa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terjejas melibatkan daerah Hilir Perak dan Kerian sejak dua minggu lalu.

"Di Hilir Perak, seramai 153 mangsa terjejas dari 11 kawasan antaranya Batu 7, Batu 8, Batu 9 dan Batu 10 ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak sejak 23 Oktober lalu.

"Selain itu, tiada mangsa ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap namun, pusat berkenaan belum ditutup secara rasmi," katanya di sini.

Menurut kenyataan itu, jumlah penduduk bagi dua PPS di daerah kerian masih kekal sejak Rabu lalu.

"Seramai 97 mangsa daripada 24 keluarga yang tinggal di Kampung Matang Tengah, Kampung Changkat Lobak dan Kampung Beriai masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak.

"Manakala, 57 orang daripada 19 keluarga dari Kampung Selekoh, Kampung Beriai, Parit Air Hitam 2 dan Parit Ali Kalang berlindung di PPS SK Alor Pongsu," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, hujan berterusan lebih lima jam menyebabkan limpahan air Sungai Bidor hingga menjejaskan rumah penduduk di beberapa kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan sentiasa membuat pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan terjejas banjir.

Selain itu, kita meninjau paras air sungai yang kini merekodkan ketinggian 4.02 meter melebihi paras normal dan penduduk sekitar juga diminta lebih berwaspada," katanya.