Isu dusun musang king dalam hutan simpan dibentang kepada MMKN

Zahari (kiri) melawat reruai pameran pada Program Kesedaran Kepentingan Hutan Paya Gambut dan Kesedaran Mengenai Kebakaran Hutan di Negeri Selangor di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Selangor pada Selasa.
Zahari (kiri) melawat reruai pameran pada Program Kesedaran Kepentingan Hutan Paya Gambut dan Kesedaran Mengenai Kebakaran Hutan di Negeri Selangor di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, Selangor pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Selangor akan membentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor berhubung tindakan terhadap sebuah tapak dusun durian musang king yang ditanam secara haram dan menceroboh kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Hulu Gombak.

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim berkata, sebarang tindakan kemusnahan dan perobohan di kawasan itu terlebih dahulu perlu mendapat kebenaran daripada MMKN Selangor.

"Mengikut dasar Majlis Tanah Negara jika aktiviti itu dilakukan dalam tempoh bawah lima tahun, kita akan roboh dan musnahkan sebarang binaan di kawasan pencerobohan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kesedaran Kepentingan Hutan Paya Gambut dan Kesedaran Mengenai Kebakaran Hutan di Negeri Selangor di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar di sini pada Selasa.

Bagaimanapun Zahari memberitahu, sekiranya aktiviti itu melebihi lima tahun, maka ia terpulang kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan permit gunaan atau memberi tempoh masa sebelum dimusnahkan.

"(Kes pencerobohan HSK Hulu Gombak) kita akan bawa kepada kerajaan negeri untuk menentukan sama ada hendak buat pemutihan atau merobohkan," jelas beliau.

Beliau memberitahu, hasil semakan pihaknya mendapati dusun itu telah beroperasi sebelum hutan itu digazetkan sebagai HSK pada 2010.

Katanya, hutan itu sebelum ini adalah tanah hak milik kerajaan negeri Selangor, namun ditukar status sebagai penggantian kepada HSK yang telah dinyahwartakan.

Artikel Berkaitan:

"Ikut sejarah, kawasan itu tanah milik kerajaan negeri yang mana apabila kita buat pewartaan keluar, maka kerajaan negeri membuat penggantian HSK lain.

"Kerajaan negeri mencadangkan penggantian kawasan tanah tersebut, tetapi aktiviti penanaman musang king dilakukan sebelum pewartaan lagi," ujar beliau.

Katanya, dua lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Pada 28 September lalu, media melaporkan, sebuah tapak dusun durian musang king diserbu selepas dipercayai beroperasi secara haram dan disyaki melakukan pencerobohan sejak puluhan tahun lalu di HSK Hulu Gombak.