Usah jadi hero bela pekebun haram musang king - Haslihelmy

Laporan Sinar Harian pada Selasa
Laporan Sinar Harian pada Selasa
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) membidas Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui kerana cuba menjadi juara dan pembela pekebun haram durian musang king di daerah ini yang sudah terbukti menceroboh tanah milik kerajaan negeri.

Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, kenyataan Penasihat Save Musang King Alliance (Samka) bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman dibawa pekebun durian musang king sebagai kemenangan signifikan kepada pekebun durian terbabit adalah gimik politik murahan yang sebenarnya mengelirukan.

Menurutnya, timbul persoalan, kemenangan apa yang dicapai pekebun terbabit dan PSAP difahamkan kes masih berjalan serta perbicaraan sebenar belum pun lagi bermula.

"Ketika ini kes itu berlegar sama ada pekebun durian terbabit ada hak tidak membawa kes ke mahkamah dan membantah arahan kerajaan negeri.

"Adakah Yu Hui cuba mengelirukan orang ramai khususnya rakyat negeri ini dengan kenyataan sedemikian?," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, PSAP menyokong penuh usaha kerajaan Pahang membanteras penerokaan tanah haram dan tidak berkompromi dalam membanteras kegiatan itu.

Jelasnya, lebih 17,000 ahli PSAP di seluruh negeri ini menyokong ketegasan kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam isu penerokaan tanah haram.

"PSAP berharap kerajaan Pahang dan Tok Wan (Wan Rosdy) akan terus konsisten di atas ketegasan yang dilaksanakan.

"Jangan berganjak ke belakang atas segala tekanan dan provokasi melampau pihak berkaitan termasuk terbaharu yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Raub. PSAP akan terus memberikan dokongan padu kepada usaha Kerajaan," katanya.

Pada Selasa lalu, media tempatan melaporkan kenyataan Yu Hui berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan RPDR-PKPP untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh dua kumpulan pekebun durian musang king di Raub.

Pada Khamis,Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal pula menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berhubung kes pekebun durian musang king di Raub pada Selasa hanya berkaitan permohonan interlokutori (bantahan awal) oleh pihak RPDR-PKPP dan bukannya keputusan untuk semakan kehakiman seperti dilaporkan.

Jelasnya, keputusan permohonan interleokutori berkenaan bagi pembatalan prosiding dengan alasan peguam pemohon (pekebun) gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon.