Bersatu jumpa Pas, bincang tindakan terhadap Ahli Parlimen Gua Musang

Kamaruddin (kiri) Sinar Harian pada Selasa melaporkan Mohd Azizi daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.
Kamaruddin (kiri) Sinar Harian pada Selasa melaporkan Mohd Azizi daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan akan berjumpa dengan pucuk pimpinan Pas negeri bagi membincangkan tentang tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada Selasa.

Presidennya, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, perjumpaan tersebut bagi membincangkan berkenaan dengan perkara berkait dengan Mohd Azizi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri.

"Tapi sebelum itu pada esok (Khamis) saya akan bersama Presiden Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkannya terlebih dahulu.

"Balik sahaja dari pertemuan itu kita lebih jelas bagaimana arah tuju tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita semasa ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Beliau mengingatkan perkara yang berlaku ini tidak berkait dengan parti kerana ia lebih kepada individu.

Ujarnya, namun Bersatu ikut terpalit dari segi imej kerana beliau merupakan Ahli Parlimen dan ADUN parti ini.

Kamaruddin memberitahu, itu yang menyebabkan beliau rasa terkilan dan bimbang terhadap kredibiliti parti.

"Tapi untuk berlaku adil sewajarnya parti tidak dikaitkan. Ini bukan soal dasar tapi keputusan bersendiri dan tidak ambil kira kepentingan parti.

Artikel Berkaitan:

"Hanya kawasan beliau sahaja sebagaimana kenyataan yang dibuat," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Mohd Azizi daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.