OKU ada diploma jadi penternak ikan keli berjaya

Nor Badrol memberikan makanan kepada ikan kelinya.
Nor Badrol memberikan makanan kepada ikan kelinya.
A
A
A

KANGAR - Kecewa permohonan kerja sering ditolak walaupun mempunyai kelulusan diploma, seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) mengambil keputusan menternak ikan keli di belakang rumahnya di Kampung Kurung Batang di sini sebagai sumber pendapatan.

Nor Badrol Iman Azmi, 35 berkata, meskipun untungnya tidak seberapa, namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus menternak ikan keli sejak tiga tahun lalu.

Dia yang mengalami kecacatan fizikal di bahagian kaki dan boleh membengkak jika banyak bergerak kini tinggal bersama ibu dan abangnya yang juga OKU masalah pembelajaran.

"Saya ialah graduan Diploma Perhotelan dan Katering namun selepas lebih 10 temuduga yang saya pergi tidak berjaya atas alasan kecacatan kaki.

"Kerana itu, saya nekad bertindak bagi mengubah nasib diri," katanya ketika ditemui semalam.

Kolam ikan keli diusahakan Nor Badrol.
Kolam ikan keli diusahakan Nor Badrol.

Kata Nor Badrol, dia beruntung kerana mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga dari segi moral dan kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Perniagaan ikan keli yang bermula pada tahun 2017 juga adalah hasil bantuan modal daripada kakak sebanyak RM25,000.

"Dengan jumlah berkenaan saya mula menyediakan dua buah kolam dan 3,000 benih ikan keli baka Afrika," katanya.

Tambah Badrol, dengan Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU daripada cuma dua kolam pada permulaan, kini Badrol sudah mempunyai lapan buah kolam ternakan.

"Semua ikan ini diberi makan dedak bagi menjaga kualiti dan mengelakkan ikan dari berbau hanyir.

"Dengan rutin pemakanan yang baik dan teratur iaitu tiga kali sehari, dalam tempoh tiga bulan ikan keli ini sudah boleh dipasarkan," katanya.

Nor Badrol memberikan makanan kepada ikan keli yang diternak.
Nor Badrol memberikan makanan kepada ikan keli yang diternak.

Menurut Badrol, dalam tempoh sebulan, dia mampu menjual lebih 500 kilogram ikan keli kepada pengedar sekitar negeri ini dengan harga RM4 sekilo.

"Nasihat saya kepada golongan OKU agar tidak menjadikan kekurangan diri sebagai kekangan untuk berjaya," katanya.