McDonald’s Malaysia kesal jadi mangsa tuduhan liar

A
A
A

Pengurus Besar dan Developmental Licensee, Reza Food Services Co Ltd (RFS), Abdulrahman Alireza (kiri) dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, menjelaskan kedudukan sebenar McDonald’s menjadi mangsa kempen boikot susulan konflik di Asia Barat.
Pengurus Besar dan Developmental Licensee, Reza Food Services Co Ltd (RFS), Abdulrahman Alireza (kiri) dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, menjelaskan kedudukan sebenar McDonald’s menjadi mangsa kempen boikot susulan konflik di Asia Barat.

PETALING JAYA - Syarikat pemilik rangkaian francais McDonald’s Malaysia, Reza Food Services Co Ltd (RFS) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar pihak-pihak tertentu kononnya membayar royalti kepada McDonald’s Corporation untuk menindas rakyat Palestin.

Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang besar, Pengurus Besar dan Developmental Licensee, Reza Food Services Co Ltd (RFS), Abdulrahman Alireza turut menganggap tindakan boikot ke atas rangkaian restoran McDonald’s Malaysia tidak sepatutnya dilakukan hanya kerana disebabkan persepsi yang salah.

Sambil menyatakan rasa dukacita, beliau mengakui tindakan boikot tersebut sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan syarikat itu selain memberi kesan kepada para pekerja yang majoritinya merupakan orang Islam.

“Tuduhan-tuduhan serta cerita (kononnya McDonald’s menyokong Israel) adalah tidak benar. McDonald’s Malaysia membayar royalti (kepada McDonald’s Corporation) untuk sistem latihan sokongan dan kos operasi yang mereka telah keluarkan.

“Kos operasi tersebut termasuklah hak perniagaan dan penyelidikan McDonald’s selain sistem teknologi aplikasi. Banyak kos dibelanjakan untuk membangunkan perniagaan dan itulah tujuan royalti tersebut dibayar,” katanya dalam sidang akhbar di Mutiara Damansara, di sini baru-baru ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.

Tambah Abdulrahman, segala pendapatan keuntungan syarikat juga diaudit untuk tujuan maklumat awam.

Artikel Berkaitan:

Nasib pekerja tempatan

Dalam pada itu, Abdulrahman yang hadir ke Malaysia dari Arab Saudi itu menjelaskan pihaknya tidak berhasrat untuk menjenamakan semula lebih 350 rangkaian restoran francaisnya di Malaysia susulan daripada situasi yang tercetus daripada perkembangan terkini yang berlaku di Asia Barat.

“Bagaimanapun, mengapa seringkali McDonald’s menjadi mangsa dan dipersalahkan dalam situasi tersebut, adakah kerana kami ini jenama ikonik terkenal di dunia. Hakikatnya, yang menderita bila fitnah sebegini timbul ialah 21,000 orang pekerja kami yang merupakan orang tempatan mencari rezeki menanggung keluarga mereka,” jelas beliau.

ABDULRAHMAN
ABDULRAHMAN

Tambah Abdulrahman, RFS telah mengambil alih McDonald’s sejak tahun 2016 yang mana sudah pastinya menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan para pekerja syarikat itu mencari rezeki tanpa rasa takut dengan tekanan serta cemuhan yang dilemparkan kononnya syarikat itu membiayai entiti atau negara tertentu dalam situasi konflik atau peperangan.

“Pihak pengurusan akan melakukan yang terbaik bagi kebajikan pekerja kami terus terpelihara,” jelasnya yang turut memberitahu pengambilan rangkaian restoran McDonald’s di Malaysia dan Singapura adalah untuk mendapat pulangan pelaburan.

“McDonald’s adalah sebuah jenama perniagaan dan mempunyai yang beroperasi di 120 buah negara. Sekiranya kami ada pendirian politik atau agenda tertentu, ia tidak akan memberi faedah yang baik kepada pelabur,” ujarnya.

Perniagaan terjejas kerana prasangka

Sementara itu, Azmir memaklumkan pihaknya mengalami kemerosotan jualan sejak gerakan boikot diadakan oleh pihak-pihak tertentu sejak konflik bermula pada Oktober lalu.

AZMIR
AZMIR

Bagaimanapun, pihaknya telah pun melaksanakan langkah luar jangka kerana isu berkenaan telah mula dihadapi pihaknya sejak 2014 lagi.

“McDonald’s difitnah dan perniagaan kami amat terjejas. Yang menderita ialah para pekerja kami kerana gerakan boikot itu. Kalau dahulu mereka bekerja dalam lapan jam sehari, kini jam bekerja mereka terpaksa dikurangkan.

“Paling kami terkesan ialah ada pekerja kami mahu berhenti kerja disebabkan tekanan daripada komuniti dan keluarga yang tidak faham akan perkara sebenar,” jelas Azmir yang telah berkhidmat selama 32 tahun dengan syarikat tersebut.

Kebajikan dan sosioekonomi masyarakat

Tambah Azmir, selain RM1 juta telah disumbangkan untuk membantu rakyat Palestin, McDonald’s Malaysia telah beroperasi sejak 1982 itu turut terlibat dalam banyak program tanggungjawab sosial melibatkan pihak kerajaan, komuniti, swasta, kanak-kanak, warga emas dan juga Orang Kurang Upaya (OKU).

Setiap tahun katanya, McDonald’s Malaysia mengadakan lebih 18,000 aktiviti untuk bantu komuniti manakala yang terbaharu, syarikat itu menaja 12,000 anak-anak yatim menyambut hari jadi.

“Di McDonald’s Malaysia, kami tidak pernah sesekali membeza-bezakan mana-mana golongan dalam menyalurkan bantuan serta sumbangan. Kami sentiasa berusaha untuk memastikan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Pada masa sama McDonald’s Malaysia turut memangkin taraf sosioekonomi rakyat di negara ini khususnya golongan belia menerusi beribu peluang pekerjaan.

“Tahun ini kita sasarkan membuka 35 restoran baharu dengan 18 buah lagi masih dalam peringkat pembinaan,” jelasnya yang turut membantu pembekal tempatan menerusi bekalan ayam segar, sayur-sayuran.

Malah, pada tahun hadapan, McDonald’s Malaysia katanya merancang untuk membuka antara 40 hingga 50 cawangan, dengan sasaran untuk mengoperasi 700 cawangan menjelang tahun 2030.

“McDonald’s Malaysia telah melahirkan lebih 4,000 graduan Sijil Kemahiran (SKM) Tahap 3 melalui Akademi Vokasional McDonald’s yang diwujudkan di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s.

“Selain itu, kami turut menghargai jasa serta peranan para guru dengan melaksanakan program Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s. Seramai 25 orang guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dianugerahkan setiap tahun di bawah program ini,” ujarnya.

No Image Caption