Isu kemanusiaan di Gaza: Malaysia kesal pendirian beberapa negara barat

Anwar ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Lapangan Terbang Antarabangsa Turkiye hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Lapangan Terbang Antarabangsa Turkiye hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A
ISTANBUL - Malaysia merasa kesal dengan pendirian beberapa negara barat yang dilihat enggan memberikan dukungan kepada isu-isu kemanusiaan di Gaza, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia tegas dengan pendirian supaya segala bentuk serangan keatas orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak Palestin dihentikan, dan bantuan dari sudut kemanusiaan disalurkan kepada mereka.

Bagaimanapun katanya, beberapa pemimpin negara Arab yang telah ditemuinya sehingga kini memberikan respons yang positif terhadap isu yang dibangkitkan Malaysia berhubung perkembangan di Gaza.

"Banyak negara Islam membuat ketetapan yang positif. Hentikan serangan dan tingkatkan usaha membantu rakyat (Gaza) dari segi kemanusiaan,” katanya dalam sidang media di hujung lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Turkiye.



Sebelum itu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Vahdettin di sini, bagi membincangkan perbagai isu termasuk perdagangan, kerjasama ekonomi, hubungan dua hala dan sebagainya.

Perdana Menteri sebelum itu turut mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, dan Pengarah National Intelligence Organisation Turkiye Ibrahim Kalin.

Anwar berkata, dari segi bantuan kepada penduduk Palestin, Turkiye dilihat berada lebih di hadapan, apabila negara itu telah berusaha menyalurkan pelbagai bentuk bantuan perubatan ke kawasan berkenaan, walaupun terdapat kesukaran untuk ia sampai ke kawasan pedalaman di Gaza.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, konflik di Gaza amat membimbangkan, kerana sekiranya Israel berkeras cuba menawan wilayah itu, ia akan membawa kepada krisis berpanjangan melibatkan banyak negara Arab.

Anwar kemudiannya berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Istanbul, untuk meneruskan lawatan kerja di Mesir dan beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden negara itu Abdel Fattah El-Sisi, dengan isu kemanusiaan terus menjadi tajuk utama perbincangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: