Kerajaan bantu beri subsidi pengasuh taska

Pengusaha Taska Sinar Nur Kasih, Minarni Mohd Hussin (tiga, kanan) bersama beberapa kakitangannya mengasuh bayi dan kanak-kanak di taska itu di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit hari ini. - Foto Bernama
Pengusaha Taska Sinar Nur Kasih, Minarni Mohd Hussin (tiga, kanan) bersama beberapa kakitangannya mengasuh bayi dan kanak-kanak di taska itu di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan dicadang menyediakan bantuan khas kepada pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) supaya mereka dapat memberikan kadar gaji minimum RM1,100 sebulan kepada tenaga penjaga dan pengasuh masing-masing.

Cadangan itu disuarakan Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak Negeri Kedah yang berpendapat kebanyakan Taska terutama di negeri ini tidak mampu membayar kadar gaji itu yang berkuatkuasa mulai 1 Januari lepas.

Pengerusinya, Ku Rahmah Ku Bahari berkata, antara yang boleh difikirkan kerajaan ialah memberikan subsidi gaji untuk tenaga penjaga dan pengasuh di Taska.

"Kita menyokong penuh penetapan gaji minimum, tetapi kebanyakan pengusaha taska tidak mampu kerana yuran ditetapkan rendah iaitu antara RM250 hingga RM350 sebulan, selain pengusaha juga perlu menampung kos operasi dan pengurusan yang semakin meningkat.

"Jika yuran dinaikkan kepada RM400 hingga RM600, pengusaha boleh beri gaji tinggi kepada pekerja, namun bimbang pula kehilangan pelanggan, jadi cara terbaik saya rasa kerajaan boleh memberikan subsidi gaji sebanyak RM400, contohnya kepada seorang pengasuh, manakala selebihnya RM700 ditanggung oleh pengusaha Taska," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kebanyakan tenaga penjaga dan pengasuh Taska di negeri ini menerima gaji antara RM600 hingga RM700 sebulan dan penguatkuasaan kadar gaji minimum itu menyebabkan pengusaha Taska terpaksa menanggung margin kenaikan yang tinggi.

Selain itu, Ku Rahmah berkata, pengusaha Taska perlu menghadiri Kursus Asuhan PERMATA yang ditetapkan kerajaan yang juga memerlukan mereka mengeluarkan kos.

Sementara itu, pengusaha Taska Sinar Nur Kasih, di sini Minarni Mohd Husssin berkata, beliau tidak mampu memberi gaji minimum RM1,100 kepada tenaga penjaga dan pengasuh di taskanya ekoran yuran yang dikenakan untuk setiap kanak-kanak rendah.

Artikel Berkaitan:

“Kami pengusaha taska kini tersepit, jika kami naikkan gaji pekerja, kemungkinan besar kami tidak dapat menampung kos makan minum, bil elektrik dan air, sewa bangunan dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk keselamatan anak di sini.

“Kalau kami kata nak naikkan yuran, ibu bapa akan menarik diri dan mencari tempat lain yang lebih murah, jika ini berlaku kami boleh ‘gulung tikar’, saya harap kerajaan dapat menetapkan mekanisme baharu kepada pengusaha agar dapat terus beroperasi,” katanya ketika ditemui hari ini. - Bernama