Semenanjung Gaza: Tempat paling tak selamat kanak-kanak di dunia

Seorang lelaki Palestin menangis sambil memegang mayat saudara yang terbunuh berikutan pengeboman Israel, semasa upacara pengebumian di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 31 Oktober lalu. - Foto AFP
Seorang lelaki Palestin menangis sambil memegang mayat saudara yang terbunuh berikutan pengeboman Israel, semasa upacara pengebumian di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 31 Oktober lalu. - Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Konflik Israel-Palestin sejak 7 Oktober lepas berterusan dengan lima kanak-kanak maut setiap jam di Semenanjung Gaza.

Separuh daripada penduduk Gaza yang berjumlah 2.3 juta orang terdiri daripada kanak-kanak manakala jumlah belia yang terbunuh dalam tiga minggu pertama konflik telah melebihi purata global kanak-kanak yang maut dalam tempoh tiga tahun lalu, lapor Agensi Anadolu.

Lebih 40 peratus daripada 7,028 rakyat Palestin yang maut dalam konflik sejak 7 Okt lalu adalah kanak-kanak, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Organisasi yang berpangkalan di United Kingdom, Save The Children pula berkata, lebih 3,000 kanak-kanak terbunuh di Palestin dalam tempoh tiga minggu, memetik data daripada pegawai kesihatan di Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza berkata, Israel membunuh seramai 9,061 penduduk Palestin dalam serangan, termasuk 3,760 kanak-kanak, 2,326 wanita manakala sekurang-kurangnya 32,000 orang cedera.

Save The Children berkata, jumlah kanak-kanak yang maut di Palestin dalam tempoh tiga minggu lepas melebihi jumlah kanak-kanak yang terbunuh dalam konflik di seluruh dunia dari 2020 - 2022.

Dalam laporan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Konflik Bersenjata dan Kanak-kanak, dinyatakan seramai 2,985 kanak-kanak meninggal dunia di 24 negara dalam konflik pada 2022; 2,515 terbunuh pada 2021 dan 2,674 pada 2020.

Laporan untuk 2019 tidak memberikan maklumat mengenai jumlah negara tetapi mengatakan seramai 4,019 kanak-kanak terbunuh dalam konflik di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan Palestin yang menerbitkan laporan setebal 212 muka surat mengenai kematian di Gaza akibat serangan Israel antara 7 Oktober dan 26 Oktober mendapati 2,913 daripada 7,028 yang terbunuh adalah kanak-kanak.

Daripada jumlah itu, 133 bayi di bawah umur setahun manakala 444 lagi bayi di bawah umur tiga tahun turut terbunuh.

Selain itu, 171 kanak-kanak berusia tiga tahun, 1,527 kanak-kanak peringkat sekolah rendah (4 hingga 13 tahun), dan 523 kanak-kanak peringkat sekolah menengah (14 hingga 17 tahun) juga maut.

Sementara itu, WHO mengumumkan sebahagian besar daripada 18,482 penduduk yang cedera di Palestin sejak 7 Oktober lepas adalah kanak-kanak.

Menurut UNICEF, Gaza kini menjadi kubur bagi kanak-kanak.

Jurucakap UNICEF James Elder menyatakan kebimbangan mengenai kematian kanak-kanak di Gaza akibat serangan berterusan Israel. Beliau menegaskan kanak-kanak terjejas teruk akibat konflik itu.

Elder mengulangi desakan UNICEF untuk gencatan senjata segera dan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa gangguan ke Gaza.

"Kanak-kanak di Gaza bukan sahaja meninggal dunia kerana pengeboman, tetapi mereka juga maut kerana kekurangan rawatan perubatan yang mereka perlukan,” katanya. - Bernama/Anadolu