Jambatan Bailey tambahan dipasang di lokasi risiko banjir besar

Ahmad Zahid berucap pada Program Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO, Hutan Melintang hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid berucap pada Program Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO, Hutan Melintang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN DATUK - Tujuh jambatan Bailey tambahan akan dipasang di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko mengalami banjir besar susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negara November ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN) berkata, pembinaan jambatan itu merupakan antara kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir selain penyediaan Pusat Pemindahan Kekal.

Beliau berkata, koordinasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi penguatkuasaan telah diadakan bagi merangka strategi dan pelan tindakan sebagai persediaan awal.

"Nadma menempah jambatan tersebut, juga mengadakan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan Pusat Pemindahan Kekal di sekolah-sekolah yang selama ini telah digunakan sebagai PPS (pusat pemindahan sementara).

"Pusat Pemindahan Kekal yang dibangunkan juga disediakan tandas dan tempat mandi mengikut jumlah senarai potensi mereka yang menjadi mangsa dan ketika bukan musim banjir, ia boleh digunakan sebagai dewan untuk sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sekurang-kurangnya 67 daerah seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan sering dilanda banjir dan JPBN juga telah memperoleh senarai mangsa banjir yang perlu ditempatkan PPS ketika tempoh Monsun Timur Laut pertengahan bulan ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kerajaan dalam belanjawan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan hampir RM500 juta bagi program mitigasi banjir dan menjangka projek tebatan banjir akan membabitkan perbelanjaan yang lebih besar pada 2030.

Di Perak, seramai 280 orang mangsa banjir daripada 78 keluarga ditempatkan di empat PPS melibatkan daerah Hilir Perak dan Kerian setakat petang ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: