67 daerah sering dilanda banjir dikenal pasti - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bersalaman dengan penduduk yang hadir pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Bagan Datuk pada Sabtu.
Ahmad Zahid bersalaman dengan penduduk yang hadir pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Bagan Datuk pada Sabtu.
A
A
A

BAGAN DATUK - Sekurang-kurangnya 67 daerah di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai kawasan sering dilanda banjir bagi tempoh Monsun Timur Laut (MTL) pertengahan November ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koordinasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi penguatkuasaan telah diadakan bagi merangka strategi dan pelan tindakan.

Menurut beliau, jumlah mangsa banjir turut diperoleh untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

"Nadma telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan pusat pemindahan kekal (PPK) di sekolah yang selama ini sudah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

"PPK diwujudkan di beberapa sekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ketika tiada banjir PPK ini digunakan sebagai dewan sekolah," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bantuan yang diperlukan sepanjang tempoh empat bulan turut diselaraskan berikutan MTL dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2024.

"Nadma telah menempah tujuh jambatan Bailey tambahan sebagai persediaan untuk kawasan-kawasan infrastruktur yang telah dikenal pasti akan dilanda banjir besar.

"Pemasangan dilakukan oleh Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya peringkat negeri dan Kementerian Kerja Raya pula peringkat pusat," katanya.

Artikel Berkaitan: